News Update :

PEMBENTANGAN PINDAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN

February 25, 2015

KENYATAAN MEDIA

24 FEBRUARI 2015

PEMBENTANGAN PINDAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN :

REAKSI KEPADA KENYATAAN YB GOBIND SINGH DEO

Saya merujuk kepada kenyataan terkini yang dibuat oleh Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo yang juga merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP yang telah dilaporkan secara meluas di dalam media massa.

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa PAS tidak lagi dilihat sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS meneruskan hasrat untuk membentangkan pindaan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan 1993 (lebih dikenali sebagai ‘Enakmen Hudud’) di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan pada 18 Mac 2015.

Dalam hal ini, saya ingin memperingatkan YB Gobind bahawa Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan yang ingin dipinda ini adalah sebuah undang-undang yang telah wujud lebih 20 tahun yang lalu, lama sebelum kewujudan Pakatan Rakyat itu sendiri. Manakala pindaan yang dicadangkan hanyalah untuk mengemaskini dan memperbaiki undang-undang tersebut terutama dari aspek teknikal yang tertentu. Ia belum dapat dilaksanakan sehinggalah mendapat kebenaran dan pindaan undang-undang di Parlimen.

Pindaan yang bakal dibentangkan juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian ahli Parlimen (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat yang berkait dengan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan atau Akta Mahkamah Syariah 1965 sebagaimana yang digemburkan oleh sesetengah pihak memandangkan tarikh pembentangannya pun belum ditetapkan lagi. Adapun PAS menggunakan jalan demokrasi dalam proses melaksanakan perkara ini yang mana ia memberikan pilihan kepada ahli parlimen untuk membentangkan.membahas,menyokong atau ,menolak rang undang-undang persendirian yang ingin dibawa itu.

Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo bolehlah menggunakan ruang demokrasi tersebut untuk menyatakan pendirian bersama Ahli Parlimen DAP yang lain tanpa perlu membangkitkan isu berkenaan kedudukan parti lain di dalam Pakatan Rakyat. PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan akur dengan apa jua keputusan dan ketetapan yang akan diputuskan di Parlimen kelak samada menerima mahupun menolak rang undang-undang persendirian tersebut.

PAS juga menghormati keputusan yang telah disepakati bersama di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang lalu. Oleh itu, PAS mendesak agar Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dapat diadakan segera agar pihak PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan dapat memberikan penjelasan butiran pindaan Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan.


Yang benar,


YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS/
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Artikel berkaitan PENDAPAT

Share this Article on :

1 comments:

aidono said...

YB Gobind..

Yang pertama dan paling utama undang-undang hudud ini tiada kena mengena dengan tuan, samaada hidup atau mati. Undang-undang ini adalah khas untuk orang Islam sahaja. Adakah tuan muslim?

Yang kedua undang-undang hudud ini adalah untuk pencegahan jenayah. Tuan sbg peguam, bolehkah tuan bagi info selama ini undang-undang yang berkuatkuasa ini adakah mampu mencegah jenayah?

Yang ketiga, orang perlu takut kepada perlaksanaan undang undang-undang ini adalah penjenayah. Adakah tuan terlibat dalam apa-apa jenayah?

yang keempat, apakah perasaan tuan jika sekiranya kami (orang Islam) mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada agama anutan tuan?

Jawab dahulu 4 soalan di atas.

Terima kasih.

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.