Berjayakah ‘game plan’ Erdoğan? - Safwan Saparudin
[Artikel] Berjayakah ‘game plan’ Erdoğan? - Safwan Saparudin
Khamis lalu, Ahmet Davutoglu telah mengumumkan untuk tidak bertanding dalam pemilihan presiden Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP). Jelas, beliau akan berundur dari jawatan presiden AKP dan juga Perdana Menteri Turki. Tindakan ini amat mengejutkan banyak pihak serta menimbulkan tanda tanya.
Apakah benar khabar angin wujud perselisihan besar antara presiden dan perdana menteri Turki?
Mari kita telusuri perjalanan AKP beberapa dekad sebelum ini. Pada tahun 2001, AKP muncul selepas terkuburnya Parti Refah ekoran disifatkan ancaman kepada sekularisme. AKP, parti baru ditubuhkan telah menghimpunkan pakatan lebih luas dari kelompok reformis dan akhirnya menang majoriti dalam pilihanraya umum 2002, satu pencapaian diluar jangkaan sejak tahun 1980-an.
Selepas 14 tahun, Recep Tayyip Erdoğan iaitu pengasas AKP telah memimpin pendokongnya dalam 10 kejayaan berturut-turut termasuklah 3 pilihanraya kerajaan tempatan, 2 referendum perlembagaan dan pemilihan presiden.
AKP dilihat berjaya memulihkan kestabilan politik serta melaksanakan reformasi penting untuk memajukan ekonomi Turki. Selain kemajuan dalam negara, kerajaan Erdoğan dilihat berjaya mengambil peranan utama di peringkat dunia setelah menganggotai G20 dan usaha positif rundingan menganggotai Kesatuan Eropah (EU).
Sepanjang tempoh Erdoğan sebagai Perdana Menteri, permasalahan AKP dengan birokrasi telah menjadi tema utama. Pada tahun 2002, beliau diisytiharkan hilang kelayakan memegang jawatan dalam kerajaan, yang disifatkan sebagai usaha pihak tertentu menyekat kemaraan AKP.
Dalam Parlimen mengalami jalan buntu, banyak protes berlaku di seluruh negara akibat dari ancaman rejim tentera untuk menjatuhkan kerajaan. Akhirnya, Erdoğan telah memanggil pilihanraya awal agar rakyat Turki sendiri membuat keputusan. Dalam pilihanraya penuh sejarah itu, Erdoğan dan partinya telah berjaya dengan meraih 46% undian.
Beberapa bulan kemudian, kerajaan baru AKP berusaha meminda perlembagaan 1982 yang memperuntukkan kuasa kepada Presiden melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih.
Bagi mengelakkan pertembungan antara kerajaan dan cadangan penubuhan kuasa tersebut, referendum diadakan pada tahun 2007 untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat memilih presiden mereka. Hasilnya 69% suara menyokong referendum tersebut.
Tujuh tahun kemudian, Erdoğan dipilih sebagai presiden Turki pertama dipilih oleh rakyat dan mantan menteri luar ketika itu, Ahmet Davutoğlu dilantik menggantikannya sebagai Pengerusi AKP dan juga perdana menteri Turki.
Ironinya, kewujudan sistem presiden yang dilantik terus telah menyebabkan masalah yang dikenali sebagai legitimasi berganda (dual legitimacy) kerana ada dua pemimpin sebagai jurucakap mewakili rakyat Turki.
Keputusan mengejutkan Ahmet Davutoğlu untuk berundur sebagai perdana menteri dan pengerusi AKP, menimbulkan tanda tanya mengapa dua pemimpin yang berkongsi ideologi dan latarbelakang yang sama tidak boleh bekerjasama.
Ramai yang membuat spekulasi antara berlaku perselisihan antara Erdoğan dan Ahmet Davutoğlu dan ia bermula sejak 2015. Ada juga mendakwa Erdoğan mempengerusikan mesyuarat kabinet serta masalah birokrasi dan pemilihan peringkat-peringkat parti yang membawa kepada peletakan jawatan Ahmet Davutoğlu.
Untuk menjelaskan isu ini, masalahnya adalah pada institusi bukannya individu. Dalam ‘game’ ini, adalah mustahil Erdoğan dan Davutoğlu untuk bekerjasama.
Keputusan Ahmet Davutoğlu telah mengisyaratkan sistem politik Turki sedang mengalami krisis struktur yang belum pernah berlaku dalam sejarah. Setakat ini, belum jelas bagaimana kedua-dua jawatan tertinggi ini berfungsi dengan baik menjalankan kuasa eksekutif.
Sejak terpilihnya Erdoğan pada 2014 secara langsung oleh rakyat (sebelum itu semua presiden dengan lantikan Parlimen), wujud tiga peta jalan (road map) bagi Turki:
Pertama, presiden hanyalah berfungsi sebagai simbol ketuanan Turki, berperanan memenuhi undangan majlis rasmi semata-mata. Segala urusan eksekutif diserahkan kepada perdana menteri dan kabinetnya. Masalahnya, dengan pemilihan lima tahun sekali jawatan presiden, adakah seorang pemimpin popular yang dipilih rakyat memilih sebagai boneka institusi sahaja. Melihat kepada karakter Erdoğan, beliau dilihat berhasrat memainkan peranan secara aktif dalam pentadbiran negara.
Pilihan kedua, yang mana telah digunapakai dalam sistem politik Turki, presiden yang aktif dan secara relatifnya perdana menteri turut berpengaruh dalam urusan pentadbiran negara. Namun, selepas 20 bulan model ini dilihat kurang berfungsi dengan baik dan efisyen.
Ketiganya, pilihan terakhir adalah kuasa presiden yang kuat serta kuasa perdana menteri yang relatif berkurangan dengan dibantu oleh menteri cabinet. Dalam bahasa mudah, mengamalkan sistem semi-presiden secara de facto.
Selain dari dipilih rakyat sebagai presiden Turki pada dua tahun lalu, Erdoğan dilihat kekal sebagai pemimpin yang tidak boleh dipertikaikan dalam AKP.
Sebagai politikus yang berpengaruh dikalangan majoriti rakyatnya, tidak dapat dinafikan beliau merupakan pemimpin yang mewakili suara seluruh rakyat Turki.
Persoalan timbul, apakah ‘game plan’ Erdoğan selepas ini?
Erdoğan mempunyai dua pilihan di persimpangan ini. Usaha memusatkan kuasa eksekutif kepada presiden boleh jadi bergantung kepada hasil perebutan kuasa dalam parti MHP, maka presiden boleh cuba mengusahakan peralihan sistem presiden secara formal. Jika ini tidak berlaku, Erdoğan terpaksa memilih sistem semi-presiden.
Beberapa hari ini, pemimpin Turki mengambil langkah-langkah awal bagi mengelakkan krisis pada masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, kepimpinan AKP terpaksa mengambil langkah perlu untuk menghindari keralatan sistem (system errors). Dalam mesyuarat 22 Mei ini, AKP perlu mengambil langkah pensejajaran dengan memilih pengerusi AKP yang baru serta berkebolehan untuk bekerjasama dengan presiden bagi meneruskan reformasi sistem presiden tersebut.
Di bawah pengurusan baru, AKP perlu mengambil langkah-langkah meyakinkan pelabur-pelabur dan mengukuhkan kestabilan ekonomi. Sementelahan itu, Erdoğan kekal sebagai pemimpin atau pengerusi de facto AKP.
Keputusan Ahmet Davutoğlu berundur menandakan bermulanya proses reformasi pentadbiran dengan menjadikan presiden sebagai ketua eksekutif (CEO) Turki dengan dibantu oleh memanda perdana menteri dan para menteri kabinetnya. Dalam erti kata lain, keputusan Ahmet Davutoğlu bermakna Turki hampir melaksanakan sistem presiden.
Jelas, perkembangan sistem politik Turki ini cukup unik serta membingungkan semua. Dalam keadaan negara Turki diancam dengan pelbagai kerumitan dan ancaman dalaman serta luaran, pensejajaran dalam transisi kepimpinan adalah amat penting. Sama-sama kita mendoakan yang terbaik buat Turki.
Sumber: Daily Sabah
Ikuti perkembangan Turki dalam Channel Telegram 'Turki Kini'.
No comments
Post a Comment