OPTIMIS DENGAN MASA DEPAN ISLAM
OPTIMIS DENGAN MASA DEPAN ISLAM.
Mengikuti penuh minat pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke 15, dilihat sebagai sinar baharu perjuangan Islam di Malaysia.
Baginda menukar "Daulat Tuanku" kepada "Allahuakbar". Walaupun ia hanya kelihatan gimik, namun sekurang-kurangnya sikap tersebut memberi harapan Islam yang boleh kita tumpang. Tidak rugi sedikit pun jika kita doa kebaikan ke atasnya.
Sudah beberapa tahun rasanya, saya sering berkongsi dengan sahabat-sahabat seperjuangan betapa Malaysia adalah antara negara yang cukup cerah cahaya Islamnya berbanding negara-negara lain. Syukur.
Pemerintah berjenama UMNO yang tegar sekularnya, hari ini agak segan menunjukkan sikap keras menolak perlaksanaan undang-undang Islam. Tidak seperti 50 tahun dahulu. Ini adalah kesan kejayaan da'wah para amilin terdahulu menerangkan batasan iman & kufur dengan penuh sabar. Hingga sekular yang pekat menjadi cair.
Hari ini masyarakat Islam cukup berminat menghantar anak-anak mereka mengaji agama. Tadika dan sekolah Islam yang sedia ada seolah-olah tidak menang tangan. Maka tadika dan sekolah Islam kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan demi memenuhi permintaan.
Da'wah telah menjadi budaya masyarakat. Masjid dan surau pasti menyambut waktu maghrib dengan kuliah agama. Tidak cukup dengan itu, pantang ada cuti pasti akan disusun kuliah subuh.
Di pejabat-pejabat bahkan di pusat beli belah terkadang diisi dengan kuliah agama. Kos kuliah, program, masjid & sekolah dibiayai oleh infaq orang ramai. Cukup berdikari.
Penggiat hedonisme terpaksa 'berunding' dengan arus Islam. Mereka terpaksa menganjurkan acara & bahan hiburan ala-ala Islamik demi meraikan market.
Apabila berlakunya tragedi yang berlaku ke atas umat Islam di negara luar, pasti di Malaysia diadakan forum penerangan, kempen bahkan demonstrasi menunjukkan sensitiviti umat Islam yang berkongsi jiwa.
Gerakan Islam PAS telah melalui fasa pergelutan pemikiran yang cuba diliberalkan dasarnya. Tidak seperti sebahagian gerakan Islam di negara lain, PAS selamat.
Sementara itu Tuan Guru Hj Abdul Hadi dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa, membuktikan kita berperanan di peringkat global untuk kelangsungan umat Islam antarabangsa.
Kita imbas kembali sejarah. Ketika kejatuhan Islam (Abbasiyyah) pada abad ke 13, dunia Islam di Asia Barat, laluan Sutera yang menghubungkan Asia Tengah sedang hancur bergelap kesan serangan Mongol.
Ketika itulah munculnya Nusantara yang menyambut perisai Islam setelah terlucut dari orang-orang Arab. Kita ada sejarah itu dan kita kena sedar.
Dalam kita membicarakan soal perancangan serta kejayaan musuh ke atas kita, perlu juga dihitung kejayaan-kejayaan kita. Rupa-rupanya Islam telah meraih pencapaian signifikan yang wajar disertakan dengan 'izzah secukup rasa.
Kita perlu berbaik sangka dengan Allah. Optimis dengan kemenangan Islam. Cuma dengan contoh rekod-rekod ini, mustahil musuh tidak berbuat apa-apa? Kewaspadaan adalah hikmah yang tercicir dari jatidiri umat hari ini.
TGHH mengumpamakan penderitaan umat Islam hari ini seperti wanita yang sedang sakit bersalin. Kesakitan yang melahirkan nyawa baharu.
Jika yang kita amati hari ini adalah fajar kazib sekalipun, lambat laun fajar sadiq tetap akan menyinsing. Beriman dengan masa depan yang cerah.
Allahuakbar!
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
No comments
Post a Comment