Politik Dakwah: Langkah Berani Tuan Guru Presiden PAS



Politik Dakwah: Langkah Berani Tuan Guru Presiden PAS

1. Apabila tersebar sahaja gambar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang duduk sepentas bersama PM Najib Razak dalam Himpunan Solidariti Rohingya, terus pelbagai telahan dan andaian dibuat, bergantung kepada perspektif mana ia dilihat.? Samada daripada sisi positif ataupun negatif.
Bagi UMNO, ini adalah peluang terbaik mereka untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka pun bersama PAS membela isu ummat Islam Rohingya. Dalam suasana realiti politik semasa, UMNO perlu mengikut rentak tari pendirian PAS kerana mereka begitu takut kehilangan sokongan orang Melayu-Islam yang boleh menjadi penentu samaada kekal atau tumbangnya Kerajaan BN pada PRU 14 nanti.?

2. Bagi Pakatan Harapan pula, khususnya DAP dan PAN semestinya ini akan dijadikan modal serangan terbaru terhadap PAS.
Maka, dikeluarkanlah dalil oleh juak mereka bahawa adalah haram bersama pemimpin zalim, diungkit semula kisah Amanat Haji Hadi dan segala macam modal kitar semula.
Pada masa yang sama, di Konvensyen DAP para pemimpin PH bersuka ria berada sepentas dengan Tun Mahathir, mantan Presiden UMNO dan PM yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun.
Lawak bukan.?
Seandainya yang berada di atas pentas bersama PM Najib itu adalah Mohd Sabu, Lim Kit Siang atau Wan Azizah maka mereka pun pasti mendabik dada ini politik jiwa besar mereka.
Politik jenis apa sehingga tak boleh langsung duduk semeja antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.?
Sebenarnya ada banyak sahaja gambar kemesraan pimpinan DAP bersama pemimpin UMNO, siap berpeluk dan mencuit pipi lagi.
Mungkin dalam benak pemikiran penyokong PH sudah dimind setkan bahawa apa jua yang PAS buat tetap salah perlu diserang, manakala apa yang pemimpin PH buat semuanya benar, perlu dipertahan.
Mereka yang menyerang itu entah-entah, tidak mendengar pun isi kandungan ucapan Tuan Guru Presiden PAS.
Mereka hanya tahu menyebar, mengedit gambar untuk dijadikan bahan troll dan sajian kutukan perang politik persepsi di alam maya.

3. Bagi PAS, Himpunan semalam adalah medan Politik Dakwah kerana PAS tidak pernah memisahkan unsur Dakwah dan Tarbiah daripada Siasah (Politik). Politik Dakwah adalah Ciri Kedua dalam gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
Tuan Guru Presiden PAS memanfaatkan sepenuhnya ruang yang diberikan untuk menyampaikan mesej dan pendirian PAS dalam isu Rohingya.
Ucapan Tuan Guru Presiden PAS hanya 10 minit tetapi ianya jauh lebih berisi dan berfakta berbanding ucapan PM dan TPM yang berucap dengan nada lenggok suara seperti masih berada di atas pentas retorik Persidangan Agung UMNO yang baru selesai sehari sebelumnya.

4. Ucapan Tuan Guru Presiden PAS itu turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui TV arus perdana.
Beliau berucap di hadapan para Menteri, Menteri Besar, Mufti dan para penyokong Kerajaan dan NGO yang hadir.
Bukankah ini peluang dakwah percuma secara terbuka yang dimanfaatkan oleh PAS.?
Tidak ada pula kedengaran dalam ucapan Tuan Guru Presiden PAS itu yang mengampu, memuji mahupun membela UMNO.
Beliau hanya memfokuskan ucapan berkenaan isu Rohingnya sahaja.
Tuan Guru Presiden PAS memulakan ucapan dengan membaca firman Allah, Ayat 39-40 Surah Al Hajj yang bermaksud;

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.
(yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa."

5. Seterusnya, Tuan Guru Presiden PAS menegaskan isu yang berlaku di Myanmar ini bukan sahaja memerlukan campur tangan Malaysia tetapi kesemua negara yang menandatangan piagam hak asasi manusia PBB, piagam Geneva, negara-negara ASEAN yang berjiran, anggota OIC, dan semua pejuang hak asasi manusia.
Kita kini berada di dunia langit terbuka, sebaran media yang memberi maklumat tanpa sempadan dan rasa perikemanusiaan.
Islam mendahului semua agama dan ideologi lain dalam mempertahankan hak asasi manusia.

6. Dalam satu persidangan di Belanda selepas Perang Dunia Kedua, mereka merujuk terjemahan Al Quran bagi menggubal undang-undang antarabangsa. Al Quran mengajar umat Islam menghormati hak orang yang dizalimi termasuk bukan Islam.
Dalam Surat At Taubah ayat 6 yang bermaksud,

"Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui."

7. Dalam hubungan antarabangsa, Islam mendahulukan perdamaian, maka langkah diplomatik dan diplomasi hendaklah didahulukan. Tuan Guru Presiden PAS mendesak Kerajaan Malaysia bersama Kerajaan negara lain campurtangan dalam menyelesaikan isu Rohingya ini dan juga suku kaum lain yang dinafikan hak kerakyatan oleh Kerajaan Myanmar.

8. Di mana rasa hati masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar dunia.? Mereka campurtangan di Iraq kerana ada petroleum yang banyak, campurtangan di Afghanistan bagi membawa hasil Asia Tengah melalui Lautan Hindi. Mereka mengutamakan kepentingan ekonomi semata-mata sehingga mengenepikan kepentingan kemanusiaan.

9. Umat Islam berhimpun atas nama kemanusiaan dan persaudaraan Islam. Perkara ini menebusi sempadan politik dan agama. Kita wajib bersatu dalam isu sebegini, kita boleh berbalah tetapi dengan beradab dan berakhlak. Kita perlu mewujudkan ummat yang bersatu, masyarakat madani sepertimana Firman Allah ayat 13 Surah Hujurat yang bermaksud;

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari Adam dan Hawa, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan.."

Taaruf dengan makna berkenalan dan membentuk masyarakat madani kerana satu negara dan satu kaum tidak boleh hidup bersendirian. Kita memerlukan makanan, pakaian, pengangkutan dan segala kemudahan yang tidak mungkin boleh dihasilkan oleh satu pihak sahaja.

10. Apa yang berlaku di Myanmar itu bukanlah masyarakat madani maka masyarakat antarabangsa wajib campurtangan dengan mendahulukan diplomatik dan diplomasi kemudian langkah darurat yang perlu difikirkan bersama demi menyelamatkan mereka khususnya golongan wanita, orang tua, dan kanak-kanak. Jangan kita hari ini lebih sibuk menjaga hak binatang, hidupan liar lebih penting daripada manusia yang dibunuh dan diseksa.

11. PAS melalui Tuan Guru Presiden PAS telah menyatakan pendirian tegas dalam isu ini. Semestinya kita mengharapkan Kerajaan bertindak lebih berani dan tegas kerana kuasa ada di tangan mereka.
PAS tidak pernah berdiam diri dalam isu ini, bahkan kita sudah beberapa kali berdemontrasi dan menyerah memorandum kepada Kedutaan Myanmar sejak beberapa tahun lalu.
Jadi, tak usahlah PAN bising kononnya isu ini 'dihijack' oleh parti tertentu.

12. Usul tergempar isu Rohingya oleh YB Kuala Terengganu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, tetapi PAS pula yang dipersalahkan kerana kononnya sebab tidak ada YB PAS bangun berdiri mempertahankan usul PAN.
Untuk makluman, isu penolakan usul itu dibangkitkan pada hari terakhir sidang sebaik sahaja pindaan usul RUU 355 dibacakan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Para Ahli Parlimen PAS hadir dalam sidang media bersama Tuan Guru Presiden di luar dewan pada ketika itu.
Lagipun sejak bila pula PAN masih berharap kepada pertolongan PAS.?

13. PAS memperjuangkan isu Rohingya ini sudah begitu lama semenjak sebelum wujudnya PAN lagi di atas muka bumi ini.
Boleh dikatakan hampir setiap kali sidang Parlimen, Tuan Guru Presiden PAS mengemukakan soalan isu Rohingya bahkan dalam ucapan perbahasan beliau juga turut menyentuh isu antarabangsa ini.
Maka, harapnya kepada PAN khususnya YB Kuala Terengganu yang bising isu 'hijack' ini sedarlah diri kerana kerusi yang dia sedang wakili sekarang itu pun dimenangi atas tiket PAS bak kata pepatah Melayu, "ayam berkokok berderai derai, ekor sendiri bergelumang tahi".

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

No comments

Powered by Blogger.