Lelaki mati ditikam gara-gara bola takraw



LOKASI kejadian seorang lelaki maut selepas ditikam oleh seorang warga asing di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, petang semalam. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Oleh Juzaimie Jazlan

bhnews@bh.com.my

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas ditikam di dada dan jantung oleh seorang warga asing dalam kejadian di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.44 petang itu, mangsa berusia 40-an itu ditikam menggunakan pisau rambo.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Assisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata siasatan awal mendapati suspek melakukan serangan itu selepas tidak puas hati dengan mangsa dan rakan-rakannya yang bermain sepak takraw.

Katanya, suspek dipercayai marah apabila bola takraw melantun beberapa kali terkena pagar rumahnya yang terletak dekat gelanggang.

"Suspek dikatakan tiba-tiba bertindak agresif dan telah menghampiri mangsa sehingga berlaku pergaduhan di antara mereka.

"Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau Rambo dan terus menikam mangsa. Mangsa cuba melarikan diri namun gagal dan terus rebah.

"Suspek yang terus bertindak agresif kemudiannya ditangkap oleh rakan-rakan mangsa dan diserahkan kepada polis bersama pisau yang digunakan untuk menikam mangsa," katanya.

Mohd Azhar berkata, mangsa yang dihantar ke hospital disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada paru-paru dan jantung.

Kes di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments

Powered by Blogger.