"Saya bukan penderhaka..." Ahmad Said

Oleh Bernama
Isnin, 24 Mac 2008
KEMAMAN: Datuk Ahmad Said yang menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) semalam meminta semua pihak supaya tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada Umno.



"Saya tidak pernah menderhaka terhadap Umno...saya telah berjuang dan bekerja dengan parti ini sejak bapa saya masih hidup lagi.

"Saya bekerja, siang malam untuk memastikan Umno Kemaman kuat...tidak timbul soal derhaka. Bagi saya, mungkin berlaku kekeliruan dan sebagainya sehinggakan perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal difahamkan baru pulang daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur.

Beliau berharap pucuk pimpinan parti akan merenung dengan sabar dan memikirkan perkara ini dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan sesuatu yang serius.

"Saya ahli parti, saya juga tahu pasal undang-undang parti dan kita perlu sabar untuk mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Nak pecat itu mudah tetapi kesannya tuan-tuan lebih tahu," kata beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Menurut Ahmad, pelantikan beliau sebagai menteri besar bukanlah atas kehendaknya, tetapi atas ketentuan dan takdir Allah s.w.t.

"Ini berlaku bukan kehendak saya...ini bukan kehendak saya...saya tahu ini bukan kehendak saya. Tetapi apa boleh buat ini ketentuan Allah dan kita perlu menerima hakikat itu, " katanya.

Ahmad berkata beliau juga tiada niat untuk menghancurkan Umno dan memecah-belahkan Umno di negeri ini.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Rosol Wahid berkata kesemua 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan masing-masing sekiranya Ahmad tetap memegang jawatan Menteri Besar negeri ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan memberikan sokongan padu terhadap pelantikan semula beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.