AMK Gesa Anasir Umno-BN Dibersihkan Dalam Pentadbiran Negeri Pakatan Rakyat

Oleh Fazli Othman

KOTA BHARU 28 Mei - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi ingatan terbuka supaya anasir Umno-Barisan Nasional yang masih berlubuk dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dibersihkan dengan segera supaya tidak menjadi duri dalam daging.

Shamsul berkata selagi mereka yang cuba mensabotaj kerajaan negeri Pakatan Rakyat daripada dalam pentadbiran tidak disingkirkan, ini akan memberi gambaran buruk kepada imej Pakatan Rakyat dan menggagalkan usaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Saya ambil contoh urus tadbir dengan melihat kebebasan Setiausaha Dewan Undangan Negeri yang terpaksa melapor kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang menunjukkan Dewan itu tidak bebas.

"Kita mahu Dewan diberikan kebebasan dan kuasa untuk menguruskan Dewan diberikan kepada speaker atas dasar pengasingan kuasa.

"Kita menggesa supaya Dewan dibebaskan daripada cengkaman eksekutif dan perkara ini harus diambil berat.

"Kita seharusnya mengambil langkah yang proaktif dengan menyegerakan pengasingan kuasa dengan melepaskan Dewan Undangan Negeri daripada cengkaman eksekutif," kata Shamsul pada sidang media yang diadakan selepas menyampaikan ucapan dasar pagi tadi.

Menurut Shamsul, kerajaan negeri terbabit harus mengambil berat isu terbabit serta tindakan terhadap tokoh Umno yang terbabit dalam penyelewengan di dalam sebuah anak syarikat negeri harus disegerakan.

Beliau turut memberikan ingatan supaya tidak membiarkan anasir korup terus melakukan sabotaj dan mandat rakyat kepada Pakatan Rakyat bukannya untuk mentadbir dengan cara lama.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.