SPRM soal CEO Sime Darby

Aidila Razak


Pemangku presiden baru dan ketua pegawai eksekutif (CEO) konglomerat berkaitan kerajaan, Sime Darby Berhad, hari ini dikunjungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap kerugian besar yang dialami syarikat tersebut.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Sime Darby petang ini, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata badan pencegah rasuah itu menyoalnya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

"Saya mengadakan perbincangan serius selama tiga jam dengan (SPRM). Mereka mengemukakan soalan-soalan umum kerana (siasatan) masih di peringkat awal.

"Sime Darby akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

Syarikat multi-portfolio itu mendapatkan liputan buruk selepas ia mendedahkan pada 13 Mei lalu kerugian besar berjumlah RM964 juta yang melibatkan projek di bawah bahagian tenaga dan utilitinya.

Menurut keputusan suku ketiga yang diumumkan hari ini, Sime Darby mengalami kerugian operasi sebanyak RM1.019 bilion untuk divisi tersebut.

Ini menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM309 juta - dan ini merupakan kali pertama ia mengalami kerugian bagi tempoh suku tahun.

Kumpulan ini juga mengumumkan bahawa ramalan kerugian atas empat projek bermasalah - Qatar Petroleum (QP), Maersk Oil Qatar (MQP) Kelautan dan Empangan Bakun - berjumlah RM1.3 bilion.

Antara empat projek, Empangan Bakun merupakan kerugian terbesar yang dianggarkan pada 13 Mei berjumlah RM450 juta.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.