PAS ubah amalan, muktamar 3 sayap dirasmi serentak

Oleh G. Manimaran


KOTA BARU, 31 Mei – Kelantan akan menjadi tumpuan arena politik sekali agi susulan Kongres Nasional Keenam PKR yang berakhir semalam – kali ini Muktamar PAS, berlangsung minggu depan, yang akan membawa kelainan julung kali.

Tahun ini, majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti itu akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

The Malaysian Insider difahamkan pendekatan itu akan menjadi amalan tahunan selepas ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika ditemui di sini.

Sehingga tahun lalu muktamar sayap Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh secara berasingan, dengan tetamu khas antara lain ialah timbalan presiden parti.

“Ya, ia akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Ini kali pertama kami membuat keputusan untuk mengadakan sekali,” kata beliau sambil menambah, ia bertujuan untuk memberikan panduan pucuk kepimpinan perwakilan ketiga-tiga sayap berkenaan.

Tahun ini genap 20 tahun PAS menerajui kerajaan negeri Kelantan. Kali ini majlis perasmian akan berlangsung di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan di Pengkalan Chepa dekat sini.

Mustafa juga berkata, pendekatan perasmian serentak akan menjadi amalan standard selepas ini.

“Kami akan gunakan cara ini setiap tahun selepas ini,” kata Mustafa.

Pendekatan itu juga digunakan oleh Umno dan juga oleh PKR, yang merupakan salah satu komponen Pakatan Rakyat.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.