Benarkah demokrasi bersuara masih wujud di malaysia

Oleh norhayati

"Assalamualaikum, Agak lama juga saya tidak memulis artikel dan terakhir sekali awal tahun ini sekadar mengucapkan tahun baru pada semua rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan di tahun 2011. Tapi kali ini saya akan mencatatkan pengalaman saya sendiri sewaktu berada di ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahm (DSAI) semalam 25 March 2011 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak, YB Azmin Ali di Taman Melawati.

Saya dan suami berada lebih awal di pusat ceramah kerana kami singgah mandi dan solat di rumah adik saya di Lembah Keramat. Saya memang sudah sedia maklum kalau ceramah melibatkan DSAI, kesukaran untuk masuk ke tempat ceramah memang akan berlaku dengan sekatan pihak PDRM. Memang benar jangkaan saya kerana PDRM telah mula memasang halangan seperti biasa. Tak apalah kerana itu tugas mereka, kita tugas kita.

Mungkin kami tiba awal jadi amat mudah untuk kami masuk menggunakan jalan lain. Waktu itu, masih belum ramai pengunjung dan peniaga-peniaga pun baru memasang gerai masing. Jadi kami mengambil kesempatan untuk melawat gerai-gerai yang baru dibuka dan aku sempat membeli akhbar seperti Suara Keadilah dan Siasah untuk maklumat terkini. Jam 9.30 malam, orang telah mula ramai tiba dan mereka mengambil kerusi masing-masing dan duduk di bawah khemah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Satu kelainan tentang ceramah yang dianjurkan oleh pembangkang adalah pengunjung sendiri akan menyusun kerusi masing-masing dan itu tidak menjadi hal bagi mereka, yang penting maklumat yang ingin mereka dengar dari penceramah-penceramah. Berbeza dengan ceramah anjuran BN, semua telah siap sedia, orang hanya datang melabuhkah punggung saja, itupun belum tentu penuh, lebih banyak kerusi dari orang. Keadaan pusat ceramah telah penuh dengan pengunjung dan lepas jam 10 malam, majlis masih belum dimulakan. Saya mula dapat merasakan sesuatu yang tidak kena, samada ceramah ini tidak mendapat permit atau pihak penganjur sedang dok main tarik tali dengan pihak Polis agar ceramah boleh diteruskan.

Lebih kurang jam 1015, barulah YB Azmin membuka ceramah dengan memaklumkan bahawa mereka terpaksa menunggu lagi 10 minit samada boleh diteruskan ceramah atau sebaliknya. Lepas 10 minit YB Azmin memaklumkan bahawa pihak Polis hanya membenarkan ceramah selama 30 minit sahaja. Sebelum memulakan ceramah, YB Azmin memaklumkan bahawa DSAI berada di K.Selangor dan akan tiba sedikit masa lagi. Sorakan Takbir dan Reformasi bergema apabila nama DSAI disebut akan hadir pada ceramah tersebut. Sepanjang ucapan, YB Azmin lebih banyak bercerita mengenai kes liwat 2 yang melibat DSAI yang mana dapat saya fahami sedikit yang kes ini mungkin akan menemui jalan buntu dan kemungkinan besar DSAI akan bebas.

Saya kurang berminat nak ikuti kes ini kerana sebelum ceramah bermula, kami telah dibekalkan dengan cetakan berkenaan kes ini, mungkin saya akan teliti lebih lanjut melalui pembacaan saja. Lagipun kawasan ceramah telah dipenuhi hampir 5 ribu pengunjung dan kebanyakan mereka berdiri jadi kalau saya duduk mungkin kurang jelas ucapan yang disampaikan, jadi sekali sekala saya kena berdiri untuk mendengar dengan lebih jelas. Apa yang dapat saya katakan, sepanjang YB Azmin berceramah mengenai kes liwat ini, sebutan "dubur saiful' terkeluar lebih dari 100 kali, naik muak pulak saya mendengarkan. Dalam fikiran saya mula terfikir perkara yang sebegini tak pernah saya dengar waktu usia muda saya, tapi di era yang canggih ini, anak-anak muda zaman kini disogokkan dengan benda-benda yang menjijikkan lagi menjengkelkan ini.

Begitu teruk sekali politik tanahair masakini sehingga ada manusia yang sanggup menjadi balaci untuk kepentingan politik orang tertentu hingga 'duburnya' disebut beberapa kali dalam siri ceramah sebegini. Lebih kurang jam 11 malam, sedang YB Azmin memberi ucapan, tiba-tiba suasana menjadi riuh rendah dengan sorakan 'Takbir' dan 'Reformas' dari pengunjung yang hadir, rupa-rupanya DSAI telah tiba.

Suasana menjadi agak kelam kabut kerana pengunjung berebut-rebut untuk bersalaman dengan DSAI. Dari jauh saya dapat melihat DSAI masih boleh tersenyum dan melambai pada pengunjung yang ada di situ. Itulah wajah yang saya lihat 13 tahun dulu dan masih bertenaga hingga kini. Tak pernah kenal erti penat dan berputus asa untuk terus membela ketidakadilan pada dirinya dan juga pada rakyat. Doa saya agar beliau akan teruskan perjuangan ini walau apa pun rintangan dan halangan yang mendatang, lawan tetap lawan, itulah kata-kata keramat beliau.

DSAI hanya dibenarkan untuk berucap selama 15 minit saja dan dalam ucapannya beliau kesal dan sedih dengan senario politik tanah air yang sanggup mengaibkan peribadi dengan fitnah yang menjijikkan hanya untuk kepentingan politik rakus sesetengah manusia yang gila kuasa. Dan mereka yang mereka cipta fitnah ini bukanlah dari kalangan mereka yang bermoral tinggi malah merupakan bekas perogol, perasuah dan pemutar alam yang hebat di negara ini.

Inikah manusia yang boleh dijadikan contoh untuk membawa negara ini ke arah kemajuan dunia dan akhirat, begitulah sedikit sebanyak ucapan yang disampaikan oleh DSAI. Sedang DSAI memberi ucapan, tiba-tiba suasana menjadi kelam kabut semula, saya dari jauh dapat melihat suasana agak tegang dihadapan saya. Apa yang dapat saya lihat, beberapa orang anggota PDRM termasuk pegawai tertingginya hinggalah dalam 10 orang yag berpakaian FRU mula untuk tampil ke atas pentas.

Suasana menjadi tegang kerana pengunjung yang hadir seolah-olah cuba menghalang mereka untuk hampir pada DSAI. Saya dapat mendengar DSAI menyebut yang beliau akan menamatkan ucapannya dan memberi salam penutup. Tapi pengunjung yang telah mula hilang kesabaran, mula menjerit-jerit dan beberapa perkataan yang kurang enak telah dilemparkan pada PDRM. Suasana tegang ini berlaku hampir 15 minit dan dari jauh saya dapat melihat beberapa botol air mineral mula berterbangan dari beberapa sudut, ini bermakna ada sesetengah pengunjung yang berang dengan tindakan PDRM mula bertindak agak ganas.

Saya tak boleh menyalahkan mereka dan pada pandangan saya apakah menjadi satu kesalahan pada kita menganjurkan sesuatu majlis di tempat kita sendiri. Tempat ceramah adalah merupakan Pusat Khidmat Parlimen Gombak kepunyaan YB Azmin, adakah itu kesalahan yang besar hingga PDRM terpaksa menghentikan ceramah sebegini hanya kerana untuk menceritakan perkara yang benar.

Timbul persoalan dalam benak hati saya apakah demokrasi untuk bersuara tentang hak dan ketidakadilan telah benar-benar mati di tanah air yang tercinta dan aman ini (yang selalu disebut-sebut oleh pemimpin BN). Nampak gayanya hanya mainan mulut sebagai penyedap halwa telinga yang Malaysia benar-benar mempraktikkan demokrasi yang telus, tulus dan entah apa-apa lus lagi. Tapi pada hakikatnya, kita disekat, dinafikan serta dihalang dari mendengar kebenaran, kita disogokkan dengan dogengan dan pujian, ampu mengampu oleh media kerajaan setiap hari.

YB Azmin dalam ceramahnya sebelum ini telah mengingatkan kerajaan serta PDRM sendiri, jangan sampai rakyat Malaysia menjadi seperti rakyat Mesir yang menghukum polis dalam siri demonstrasi menuntut keadilan negara tersebut baru-baru ini. Jelas dari apa yang saya perhatikan dalam kekecohan yang hanya berlaku kurang dari setengah jam, rakyat telah mula bertindak agak agresif dalam berhadapan dengan kesombongan dan kebongkakan PDRM yang melayani kerenah kerajaan BN yang tamak untuk terus berkuasa.

Dan saya juga tidak dapat membohongi diri saya, yang pihak PDRM pun terpaksa melaksanakan tugas mereka mengikut arahan pihak tertentu, itu tidak saya nafikan. Cuma harapan saya serta semua rakyat Malaysia yang sudah muak, jelak, bosan, tertindas serta tertekan ini, kami akan mengajar cukup-cukup pada BN pada PRU ke 13 akan datang ini. Anak saya jika ditakdirkan mengundi pada 2012, serta teman-temannya yang juga akan menjangkau umur 21 tahun, akan menambahkan lagi undian untuk Pakatan Rakyat.

Kali ini bukan lagi mengurangkan 2/3 majoriiti, tapi mengambilalih sepenuhnya tampuk pemerintahan dari BN yang telah terlalu lama berkuasa sehingga merasakan tanpa mereka hidup rakyat akan punah ranah. Hakikatnya adalah hidup kami memang telah punah, ranah, hancur di bawah pemerintahan BN yang melebihi 50 tahun, BN makan daging kami cuma dapat tulang, itulah ibaratnya.

Pada kami, satu ingatan pada pemimpin BN yang dah nyawa-nyawa ikan ini, 'enough is enough, you have totally destroyed this country, we will change for better nation in Malaysia'. Wind of change will happen, insya allah. Kamu tunggulah natijah serta balasan yang akan Allah turunkan pada mereka yang menzalimi orang-orang teraninya. Kerajaan Firaun pun boleh tumbang, inikan pulak BN yang sekelumit itu. Takbir, Reformasi, Lawan tetap Lawan, Insya allah.

No comments

Powered by Blogger.