BN ajar penyokong berdemonstrasi, Pakatan Rakyat perlu menyahut

Oleh Zulkifli Yahya

Sebagai penganjur program Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera saya dipanggil ke ibu pejabat polis Daerah Kota Setar berhubung permohonan permit ceramah umum yang diadakan. Program tersebut adalah program rasmi kerajaan negeri. Jarang penganjur perhimpunan anjuran kerajaan memohon permit berhimpun dari pihak polis.

Pihak penganjur Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera tidak memohon permit untuk keseluruhan program tetapi hanya untuk program ceramah pada dua malam terakhir

Pernceramah undangan ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan Abdul Razak. Kerana di alam maya Malaysia kesemua tokoh tersebut adalah pemimpin politik Pakatan Rakyat maka lazimnya mereka perlukan permit untuk berceramah. Maka penganjur merasakan memohon permit berceramah adalah lebih baik daripada tidak memohon.

Lokasi ceramah yang dicadangkan ialah di perkarangan Stadium Darul Aman, di bawah pentas besar boleh menampung kira-kira lima ribu orang yang duduk bersila. Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera melibatkan pameran dan gerai-gerai niaga yang disewa dengan kadar RM1,500.00 untuk lima hari. Peniaga akan merungut jika penganjur tidak menyediakan program sampingan yang melibatkan kehadiran pengunjung sepanjang waktu. Justeru, penganjur memilih untuk mengadakan ceramah di lokasi paling hampir dengan tapak niaga, iaitu di luar stadium.

"Jika ceramah di buat di luar stadium maka kami tak akan luluskan permit," ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar dalam pertemuan tersebut. "Jika mahu permit mesti dibuat dalam stadium, dalam kawasan tertutup. Masalah jika buat di luar stadium ialah kami terpaksa halang, ini yang kami mahu elakkan."

Saya sangat memahami dilema pihak polis. Sepanjang masa mereka terikat dengan arahan pihak atas. Oleh kerana ketua paling tinggi mereka adalah orang politik, maka mereka terpaksa akur sekalipun sedar bahawa arahan yang mereka terima lebih berupa arahan politik dari arahan demi keselamatan.

Selepas merujuk kepada Menteri Besar, saya mengemukakan semula permohonan baru untuk mengadakan ceramah di dalam stadium. Tiada untung untuk bertelagah dengan pihak polis sebab dalam kebanyakan isu pertelagahan dengan pihak berkuasa, maka yang ‘jahatnya’ ialah PAS atau pihak tidak sehaluan dengan BN. Mereka menguasai semua media untuk memanipulasi isu bagi menggambarkan ‘ganasnya’ PAS.

Menteri Besar Kelantan pernah berceramah di Kuala Ketil, Kedah tanpa permit. Program ceramah tersebut diserang dengan gas pemedih mata dan air kimia sekalipun orang kenamaan yang hadir ialah seorang Menteri Besar. Sebuah trak buruk polis yang berada bersama mereka tiba-tiba terbakar. Maka berhari-harilah media talibarut BN menceritakan keganasan orang PAS ‘membakar’ kenderaan polis. Dengan kuasa dan media mereka boleh dan tergamak lakukan apa saja untuk memburukkan imej pihak lawan. Demi mengelak akan mudarat yang lebih besar, PAS terus patuh dengan arahan pihak berkuasa.

Mutakhir ini media-media talibarut BN hampir setiap hari melaporkan kewujudan perhimpunan haram terhadap pelbagai isu yang menyanggah pihak Pakatan Rakyat, sama ada terhadap kerajaan, parti atau individu. Dalam hampir semua peristiwa tersebut, peserta perhimpunan haram yang terdiri daripada ahli dan penyokong Umno tidak dikenakan sebarang tindakan. Berapa banyak siri perhimpunan haram di Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada sebarang tangkapan dibuat. Semua media-media utama negara termasuk RTM yang menjadi agensi kerajaan melaporkan perbuatan haram dari segi undang-undang negara itu seolah-olah menggalakkannya lagi.

Bahkan baru-baru ini, ahli-ahli Umno yang berlindung di balik topeng NGO telah mengadakan demonstrasi di seluruh negara mendesak Anwar menyerahkan DNA bagi membuktikan beliau benar- benar meliwat si keparat Saiful Bukhari. Lantaran mereka orang Umno maka tiada seorang pun ditangkap dan didakwa polis. Apabila Umno buat semuanya halal sebaliknya jika ia dilakukan oleh penyokong PR maka ia menjadi haram.

Kenderaan Anwar dibaling batu oleh penyokong BN sewaktu pilihan raya kecil baru-baru ini. Dengan selamba Timbalan Perdana Menteri mengiyakan tindakan ganas tersebut. Katanya, ia berlaku akibat rasa menyampah mereka terhadap Anwar. Muhyiddin langsung tidak mengecam perbuatan tersebut. Tafsiran yang mudah difahami ialah ‘semua perbuatan buruk yang dilakukan terhadap pihak yang tidak kita sukai adalah halal.’ Adakah pihak polis bersetuju kenyataan tersebut?

Percayalah semakin hari demonstrasi haram penyokong BN untuk menyanggah PR serta semua elemen berkaitan PR akan menjadi-jadi. Walaupun kelompok yang berdemonstrasi itu sedikit tetapi ia merata di seluruh negara. Semua media memberi liputan besar-besaran.

Rasanya ahli-ahli dan penyokong pembangkang sudah lama berdisiplin dan bersabar menyaksikan kerenah BN. Bayangkan kalau pembangkang mula mengambil langkah yang sama. Asal saja ada isu beratus ahli dan penyokong PR berhimpun di mana-mana di seluruh negara menyatakan isi hati. Memang sudah ada pun idea ‘nakal’ daripada pihak tertentu dalam PR iaitu, sementara pihak pro BN ghairah mengadakan demonstrasi saban hari, biar kah kita guna kesempatan itu untuk turut serta. Dalam isu yang menyebelahi kita pula. "Kecil-kecil lama-lama jadi bukit. Biar sampai jadi macam Tunisia, Mesir dan Libya," ujar suara nakal itu.

Dato’ Seri Najib serta seluruh pemimpin BN adalah pihak yang paling gerun membayangkan situasi ini. Tetapi ia tidak mustahil untuk berlaku jika mereka sendiri yang memulakannya. Mereka yang mula merestui penyokong berdemonstrasi, memilih jalan raya sebagai pentas bantahan. Pihak pembangkang hanya akan menyahut. Mereka yang meniup angin, pihak pembangkang akan membawa badai taufan.

No comments

Powered by Blogger.