Qazaf dalam Kanun Keseksaan mampu elak fitnah seks

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa eleman qazaf dikenakan terhadap penuduh jika gagal membawa empat saksi, dimasukkan dalam Kanun Keseksaan.

“PKPIM berpandangan pertuduhan dengan cara sedemikian (berpandukan video semata-mata) tidak sah memandangkan ia dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang digariskan undang-undang Syariah.

“Islam menggariskan prosedur mensyaratkan empat saksi yang adil dan benar-benar melihat aksi sedemikian seperti melihat masuknya celak ke dalam penutupnya, bukan sekadar menonton video yang samar-samar hitam putih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu kenyataan media dengan merujuk kepada konspirasi Datuk T untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pendedahan video seks palsu, Isnin lalu.

Faisal berkata, pendedahan berkaitan seks dianggap senjata paling ampuh untuk menjatuhkan seseorang berikutan perkembangan politik masa kini mengabai prinsip memelihara kemuliaan insan, maruah dan harga diri seseorang individu.

“PKPIM bimbang situasi sedemikian akan meletakkan masyarakat berada dalam keadaan terumbang ambing dan hilang kredibiliti untuk menjadi masyarakat contoh.

“Hal ini berlaku apabila senjata ini sudah dibudayakan setiap kali berlaku pertelingkahan,” katanya dan menasihatkan masyarakat lebih berhati-hati membuat dakwaan melibatkan maruah seseorang.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian adalah sesuatu yang cukup berat untuk ditanggung tertuduh memandangkan ia melibatkan harga diri, maruah, dan air muka individu berkenaan.

“Dalam jenayah seperti hudud, pembuktian seharusnya dibuat bukan sekadar menjangkaui keraguan munasabah, tetapi menjangkaui sebarang bayang-bayang keraguan untuk memastikan tertuduh benar-benar bersalah.

“Ia bertujuan mengelakkan sebarang bentuk kezaliman kepada tertuduh,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.