Nik Nazmi gesa pencabulan federalisme dikaji semula

SHAH ALAM: Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan Selangor memainkan peranan bagi mengkaji semula amalan federalisme yang semakin terhakis di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Menurutnya, banyak pembaharuan yang cuba dilakukan di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dihalang oleh pencabulan federalisme apabila terlalu banyak kuasa dipusatkan kepada kerajaan persekutuan.

“Segala isu daripada jenayah, pendidikan hatta kutipan sampah sekalipun diputuskan daripada Putrajaya sedangkan saya fikir negeri atau pun PBT lebih arif mengenainya. Malah dalam isu seperti JKKK yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat dengan mudah membentuk JKKKP.

“Ini jelas khianat kepada Sultan Selangor,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih atas titah Tuanku Selangor pada majlis pembukaan pertama penggal ke empat sidang Dun Selangor, hari ini.

Dalam ucapannya, Nik Nazmi turut menyentuh mengenai program anjuran Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenepikan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat.

“Saya terkejut mendengar pendedahan YB Bukit Antarabangsa bahawa Majlis Perbandaran Selayang menjadi tuan rumah satu program yang hanya menjemput wakil rakyat dan penyelaras parlimen dan Dun BN, dan tidak menghiraukan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

“Sekalipun program ini dianjurkan kementerian, ini satu lagi bukti kejahilan tentang federalisme,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mencadangkan supaya Institusi pengajian Tinggi di Selangor dijadikan sebagai Zon bebas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Beliau menceritakan pengalamannya pada 2009 ketika dijemput merasmikan mesyuarat agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, apabila pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) cuba menyamar sebagai mahasiswa dengan memaklumkan pembatalan program berkenaan.

Namun beliau memuji langkah yang diambil pihak pentadbiran dan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa yang disifatkan lebih matang dengan mengadakan siri forum ilmiah melibatkan pimpinan politik BN, Pakatan Rakyat, NGO dan ahli akademik.

“Justeru saya berharap kita dapat membawa budaya sama di IPT-IPT yang dimiliki kerajaan negeri Selangor khususnya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Kita jadikan IPT-IPT ini dari segi falsafahnya zon bebas Akta Universiti dan Kolej Universiti,” ujar beliau.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapannya berkata, disebalik pelbagai projek mega termasuk Aliran Transit Massa yang menelan belanja berbilion ringgit, kerajaan mengabaikan masalah perumahan rakyat seperti keadaan flat yang sangat menyedihkan.

Justeru itu beliau berharap satu badan bertanggungjawab ditubuhkan bagi mengkaji untuk memperbaiki kemudahan dan keadaan di flat kos rendah seperti di kawasan Desa Menteri, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

“PKNS misalnya telah mempunyai banyak pengalaman luas dalam aspek ini. Dengan ini pendekatan kita berubah daripada Ad-Hoc kepada lebih spesifik bagi meningkatkan keadaan di flat-flat ini secara berterusan,” ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.