Isu Pang: Musa hormati pandangan LDP, MCA

KOTA KINABALU, 28 Mac — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata beliau menghormati pandangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah mengenai isu bekas Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Peter Pang En Yin yang dikekalkan sebagai anggota kabinet negeri.

“Pintu sentiasa terbuka untuk perbincangan,” katanya katanya kepada pemberita selepas melancarkan makmal Polisi Industri Perkayuan Negara (Natip), di sini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin LDP dan MCA Sabah yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau mengekalkan Pang dalam barisan kabinet negeri, selepas bekas Timbalan Ketua Menteri itu menyertai Gerakan.

Musa bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Kelmarin, majlis tertinggi LDP memutuskan untuk menolak sebarang tawaran ‘pampasan’ berikutan kehilangan wakil dalam kabinet negeri apabila parti itu tidak dipertimbangkan ketika rombakan kecil jemaah menteri Sabah baru-baru ini.

Presidennya Datuk V.K. Liew dilapor berkata keputusan Musa telah menjejaskan keseimbangan perkongsian kuasa yang diamalkan BN selama ini.

Pada hari yang sama, MCA Sabah meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan wakil rakyat BN menyertai parti lain dalam gabungan itu semata-mata mahu menjaga jawatan dalam kerajaan.

“Kalau tindakan sebegini digalak dan direstui pucuk pimpinan BN, ia akan menjejaskan keseimbangan dan perhubungan baik yang wujud pada kalangan parti komponen. Akhirnya ini akan menyebabkan kehilangan keyakinan dalam BN,” kata setiausaha badan perhubungan MCA Sabah Datuk Goh Wang Kheng dalam kenyataan.

Pang yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Karamunting tidak berparti apabila keluar daripada LDP pada September lepas susulan kenyataan Timbalan Presiden LDP Chin Su Phin bahawa pucuk pimpinan parti itu tidak lagi dapat bekerjasama dengan Musa.

Pang menyertai Gerakan pada 15 Mac lepas bersama lebih 100 penyokongnya.

Sehari selepas itu, Musa mengumumkan Pang telah digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri yang dipegangnya di bawah kuota masyarakat Cina tetapi kekal sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru mewakili komuniti Cina Sabah. — Bernama

1 comment

cicit ngah layor said...

Aper yg ndak diheghankan...T.Murugiah pon drpd PPP ke MIC.Bukan ker dari BN ke BN juger....lagi pon kekai lagi jawatan Tim Men.Bak kater org muder " Apa barang mahu kecoh2 ".

Powered by Blogger.