Sultan Sharafuddin kagum kecekapan, pencapaian ekonomi Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa gembira baginda atas pencapaian cemerlang ekonomi Selangor selama Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor.

Baginda gembira kerana di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, Selangor menjadi penyumbang kepada pendapatan negara.

“Kadar pertumbuhan pada tahun 2010 ialah 7.2%. Lebih menggembirakan beta ialah fakta bahawa negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) dengan jumlah mencecah 21%,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga gembira pendapatan Selangor menerusi hasil cukai meningkat dan membentuk sebahagian besar pendapatan negeri.

“Beta gembira dengan pencapaian peningkatan hasil cukai dan urus niaga berkaitan tanah yang meningkat dari kadar tujuh puluh lima (75) peratus ke lapan puluh (80) peratus daripada keseluruhan hasil negeri,” titah baginda.

Bertitah lebih lanjut, Sultan Sharafuddin berkata Selangor sebagai negeri maju pastinya akan menjadi tumpuan rakyat negeri lain mencari peluang pekerjaan dan seterusnya membantu menjana ekonomi negeri,” titah baginda lagi.

Oleh kerana itu, baginda mengarahkan agar seluruh jentera pentadbiran negeri bekerja lebih kukuh bagi meningkatkan kepekaan dan kelancaran pengurusan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Pada amasa yang sama, baginda juga menitahkan rakyat Selangor agar tetap berwaspada dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Namun kita harus sentiasa bersiap siaga berhadapan dengan iklim ekonomi dunia yang ada kalanya tidak menentu; khusus di Amerika, Eropah dan Timur Tengah. Jangan kita leka dan situasi global seharusnya dipantau,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda tetap mengingatkan rakyat agar mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja kerana kemewahanyang dinikmati haru s diperguna dan diperguna sebaiknya.

“Sambil kita bersyukur dan bergembira dengan kelebihan yang ada ini, Beta mahu mengingatkan rakyat Beta bahawa sumber yang ada itu terhad dan disebabkan itu ia menuntut sikap amanah yang tinggi. Limpahan hasil yang tinggi tidak akan memberi makna jika tidak diurus secara berhemat dan berhemah,” titah baginda.

Justeru, baginda mahu kerajaan negeri meneruskan amalan mendedahkan mana-mana pegawai negeri yang tidak amanah dalam memikul amanah rakyat.

“Justeru, beta tidak mahu kerajaan melindungi sesiapa yang berlaku curang terhadap amanah ini termasuk di kalangan rakan atau keluarga sendiri. Sebaliknya, keberanian mengambil sikap yang tegas dan jelas untuk memerangi salah laku yang demikian wajib disokong oleh semua rakyat. Sikap tegas dan jelas dalam hal sebegini perlu untuk mewujudkan satu budaya pentadbiran yang boleh dipercayai serta dihormati,” titahnya.

Baginda juga mahu fokus diberi kepada menyediakan persekitaran yang selamat, bersih dan hijau kepada rakyat Selangor.

“Beta berkenan supaya Selangor menjadi negeri yang selesa didiami melalui penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dengan fokus kepada konsep “Cleaner, Greener and Safer Selangor”. Beta berkenan konsep ini dipraktikkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di kawasan masing-masing supaya rakyat Beta akan sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat, bersih dan menghijau,” titah baginda.

No comments

Powered by Blogger.