Enggan terima memorandum, Najib ketepi keselamatan rakyat- Fuziah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal dengan keengganan Perdana Menteri menerima memorandum bantahan berhubung pembinaan loji ‘rare earth’ yang mengeluarkan sisa buangan radioaktif.

Memorandum disertai petisyen “Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia” yang ditandatangani penduduk Kuantan itu sepatutnya diserahkan kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri di lobi Parlimen hari ini.

Fuziah menyifatkan keenganan itu membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak mengetepikan soal keselamatan rakyat dan bertentangan dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’, yang dilaungkan selama ini.

“Apalah salahnya kalau dia hantar wakil untuk terima petisyen bantahan tersebut. Ini menunjukkan beliau tidak prihatin dengan tuntutan rakyat malah mengenepikan keutamaan serta keselamatan rakyat.

“Bukan sahaja tak hantar wakil, malah delegasi yang dianggotai seramai 10 orang di kalangan penduduk tempatan termasuk NGO di Parlimen pagi tadi tidak dilayan,” kata Fuziah kepada Keadilan Daily.

Pagi tadi, sekumpulan aktivis berkumpul di hadapan parlimen bagi menyampaikan memorandum bantahan berhubung projek tersebut yang dibina Syarikat Australia, Lynas Corp.

Mereka berhimpun secara aman di perkarangan luar Parlimen sambil mengedar risalah serta lencana kepada Ahli Parlimen dan Menteri, menuntut supaya nyawa dan kesihatan penduduk Kuantan tidak dipertaruhkan dengan pembinaan loji berkenaan.

Memorandum itu merupakan salah satu kempen kesedaran yang diusahakan Fuziah sejak dua minggu lalu bagi mendedahkan kepada penduduk tentang risiko radiokatif yang dihasilkan kilang tersebut.

“Hampir 90 peratus sambutan positif diterima daripada penduduk bandar Kuantan yang mahu pembinaan loji tersebut dihentikan serta merta.

“Setakat ini, sebanyak 20,000 tandatangan sudah dikumpulkan. Kita akan meneruskan kempen ini hingga hujung April depan,” kata Fuziah.

No comments

Powered by Blogger.