Hard Truth dan ‘Kebenaran Keras’

Oleh: Shirzad Lifeboat

Kebenaran, lebih lazim dari tidak, adalah sesuatu yang cukup pahit untuk ditelan. Adakalanya, apabila kebenaran akhirnya menyerlah maka timbullah penyesalan. Di lain masa pula, malah jauh lebih kerap dari penyesalan – sama ada yang dilahirkan mahupun disimpan sahaja di dalam hati – kebatilan begitu beriya-iya dipertahankan bagi menyembunyikan rasa aib bukan kepalang.

Buku terbaru mengenai Menteri Mentor dan mantan Perdana Menteri Singapura berjudul Hard Truth: To Keep Singapore Going (Straits Times Press, 458 halaman) mendedahkan segala kepahitan yang perlu diharungi oleh rakyat dan pemimpin republik tersebut sekiranya mereka mahu mengekalkan status negara maju dan taraf hidup yang sedang dinikmati kini.

Sementara buku ini agak menarik kerana ia sebuah karya Lee Kuan Yew (dalam bentuk pemikiran beliau) tetapi ia sebenarnya ditulis oleh satu pasukan penulis terdiri daripada Pengarang dan Timbalan Pengarang akhbar harian The Straits Times serta beberapa orang lagi pengarang termasuk dari Singapore Press Holdings.

Kecuali beberapa mukadimah kepada sesuatu bab yang ditulis oleh anggota pasukan pengarang tersebut, rata-rata buku ini adalah catatan wawancara khas pasukan tersebut secara bersemuka dengan Lee Kuan Yew (kecuali bab terakhir yang dilakukan menerusi wawancara e-mel).

Sebahagian besar buku ini adalah mengenai politik dan masa depan republik. Lee menjawab soalan para pewancara mengenai isu-isu ekonomi, sosial dan politik. Antara isu paling ketara dan kerap disentuh ialah soal kepimpinan dan kesinambungan kepimpinan republik itu serta bagaimana parti pemerintah PAP (People’s Action Party) terpaksa menghadapi pahit maung mempersiapkan pemimpin pelapis yang dapat menggalas tanggungjawab memastikan status republik berkenaan sebagai sebuah negara maju dan dinamik sentiasa terpelihara sama ada untuk generasi masa kini mahupun generasi akan datang.

Dalam membaca buku ini, seseorang tentu dapat memerhatikan betapa Singapura bukan sahaja mengamallkan meritokrasi tetapi cukup-cukup berhati-hati dalam memilih pemimpin politik di semua peringkat.

Ia bukan macam sesetengah negara membangun di Asia Tenggara di mana anggota kabinet dipilih secara tangkap muat, atau kerana mahu memberi peluang kepada seseorang pemimpin yang telah lama menjadi ahli parti, atau disebabkan keakraban sebagai seorang kawan kepada Presiden parti, atau kerana memenuhi kehendak kuota komponen sesebuah gabungan parti politik yang telah dipersetujui walaupun orang yang terpaksa dipilih untuk memenuhi kuota tersebut sebenar tidak berkaliber dan tidak layak sama sekali untuk menganggotai kabinet atau akhir sekali kerana menurut kehendak dan pertimbangan Perdana Menteri semata-mata.

Maka tidak hairanlah sekiranya mudah bagi negara berkenaan mempunyai anggota kabinet yang bukan sahaja tak matang, tak tahu bekerja, cakap berdolak dalik malah menyebabkan kementerian yang diketuainya menjadi kong-ka-li-kong. Dan tidak hairanlah sementara Singapura mengamal akauntabiliti terhadap setiap unit dolar wang awam yang dibelanjakan, ada negara yang pemimpinnya membuang mungkin wang awam yang sama nilai dengan RM1 bilion ke dalam parit. Dalam menjawab soalan tentang cabaran kepimpinan yang dihadapi oleh republik tersebut, Lee memberikan jawapan:

“Kita mempunyai populasi lebih sedikit dari 3 juta. Setiap tahun kita mendapati kira-kira seratus orang yang cukup berkualilti serta memiliki potensi kepimpinan politik. Daripada jumlah itu, kita akhirnya cuma mempunyai 20, 30 orang sahaja. Kita mencungkilnya dari setiap profesion, setiap bidang perniagaan, tetapi untuk berjaya dalam politik, anda harus menceburinya ketika usia masih dalam lingkungan 30-an atau awal 40-an, tatkala anda tidak begitu terkongkong dengan cara anda atau tidak boleh menyelami perasaan orang lain – pergi merayu, berjabat tangan, mencium bayi dan sebagainya. Kita kekurangan orang pada tahun 2001 sehingga terpaksa mengambil tiga orang doktor: setiap satunya berada ditahap tertinggi dalam profession masing-masing: Ng Eng Hen, Vivian Balakrishnan, Balaji Sadasivan. Balaji adalah jurubedah otak terkemuka tetapi beliau gagal untuk menjadi seorang pemimpin politik.”

Melihat dari jawapan Lee ini dan sebagaimana yang ramai sedia maklum tentang politik dalam parti PAP, soal merebut jawatan, atau seseorang pemimpin yang bercita-cita besar mahu menjadi Naib Presiden dan seterusnya Timbalan dan kemudian Presiden sendiri walaupun kebolehan dan kemampuan tidak seberapa tetapi menggunakan alasan kononnya ‘mahu berkhidmat untuk parti’ tidak timbul dan tidak pernah berlaku dalam parti pemerintah Singapura.

Justeru tidak hairanlah sekiranya Singapura berjaya menjadi negara maju dalam masa lebih sedikit dari tiga dekad dan tanpa ada slogan tentang wawasan yang disertakan dengan gubahan lagu untuk siaran media kerajaan, tanpa ada profesor atau cendekiawan tertentu berdialog dan menulis tentang wawasan berkenaan.

Seperti biasa dalam membincangkan masa depan politik Singapura, soal hubungan dengan Malaysia tidak mungkin tidak disentuh sama sekali. Buku ini sebenarnya banyak dimulakan dengan persoalan dan sejarah di antara kedua-dua buah negara ini.

Menjawab soalan tentang kejayaan ekonomi Singapura dalam konteks persaingan dan kerjasama dengan Malaysia, Lee menjelaskan bagaimana Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu cuba mengatasi prestasi Singapura dengan membina Pelabuhan Tanjung Pelepas dan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara tersebut yang ditakrifkan oleh Dr. Mahathir sebagai situasi menang-menang adalah sebenarnya saya menang anda kalah. “Now they go to Tanjung Pelepas. His win-win is: ‘I win, you lose.” (halaman 33).

Apa yang cuba dikatakan oleh Lee Kuan Yew dalam hal ini ialah setelah mencuba selama lebih daripada 20 tahun, ekonomi Singapura tetap kukuh di sebalik pelbagai tekanan yang dikenakan oleh negara-negara yang berjiran dengannya.

Inilah kebenaran keras yang perlu digigit oleh sesetengah pemimpin negara-negara jiran berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.