Tun Daim Zainuddin Buat Ramalan Lagi. Kecut Perut Taib Mahmud

Daim: BN boleh kekal di Sarawak tapi diramal hilang banyak kerusi

Oleh Yow Hong Chieh

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tun Daim Zainuddin berkata Barisan Nasional (BN) dijangka akan kehilangan lebih banyak kerusi di Sarawak kali ini tetapi boleh kekalkan majoriti “selesa.”

“Saya fikir Barisan Nasional akan menang tetapi lebih banyak kerusi akan pergi kepada pembangkang,” kata beliau pada syarahan awam di Universiti Tun Abdul Razak hari ini hari ini.

Pada akhir 2007, bekas menteri kewangan dan bekas bendahari agung Umno itu telah meramalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah akan menerima nasib seperti Kelantan yang dikuasai PAS pada 1990.

Ramalan itu menjadi kenyataan dengan lima negeri dikuasai pembangkang termasuk Perak dan BN kehilangan majoriti tradisi dalam pilihan raya umum 2008 yang disifatkan sebagai tsunami politik.

Pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 akan diadakan bulan depan dengan hari pengundian jatuh pada 16 April manakala penamaan calon 6 April.

Awal minggu ini, Daim meramalkan bahawa BN akan mencatatkan prestasi lebih baik dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun ini, tetapi pastinya tidak lebih buruk berbanding kedudukan tiga tahun lalu.

Hari ini, Daim juga berkata hasrat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri adalah langkah baik kerana tiada pemimpin yang harus berada dalam kuasa begitu lama.

“Anda lihat apa yang berlaku ke atas Mubarak, apa yang berlaku di Tunisia. Dia mesti tahu bila (untuk pergi),” kata Daim lagi.

“Jangan kata anda tidak boleh temui seorang pengganti. Itu bukan kesnya,” kata beliau lagi.

Malah kata beliau, bukan kerja Taib untuk memilih pengganti yang sesuai memandangkan perkara itu seharusnya diserahkan kepada parti untuk diputuskan.

Taib yang genap 30 tahun menjadi ketua menteri 26 Mac lalu, baru-baru ini mengumumkan akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Pakatan Rakyat dijangka memfokus kepada soal rasuah dan dakwaan salah guna kuasa yang dipercayai boleh menjejaskan sokongan kepada BN di kawasan-kawasan bandar khususnyua pengundi Cina.

Bagaimanapun pembangkang sangsi orang kuat BN akan mengotakan kata-katanya dan kata mereka, jika beliau jujur seharusnya melepaskan jawatan sebelum pilihan raya negeri.

No comments

Powered by Blogger.