PRU-13: Md. Isa berundur, Shahidan ke Arau



KANGAR 16 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu hari ini mengesahkan bahawa dia tidak bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong yang dimenanginya pada PRU-12 diambil alih oleh muka baru, Rela Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kangar.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Md. Isa selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis pada Majlis Mengumumkan Calon BN Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah mengundurkan diri itu dibuat bersandarkan faktor usia selain memberi laluan kepada muka baru untuk memberikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, seorang lagi tokoh veteran, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap dicalonkan cuma bertukar kawasan dengan adiknya, Datuk Ismail Kassim.

Shahidan beralih ke Parlimen Arau manakala Ismail bertanding di DUN Tambun Tulang.

Antara tokoh tidak dicalonkan semula ialah Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang tempatnya digantikan dengan muka baru, Ir. Shaharuddin Ismail serta DUN Pauh yang menyaksikan tempat Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail diambil alih, Azlan Mat.

Seorang lagi calon dari kalangan ulama muda, Fathul Bari Mat Jahaya dicalonkan di DUN Sanglang.

No comments

Powered by Blogger.