'seeloknya TG Nik Aziz menumpukan sepenuh masa beribadat daripada berpolitik'

Nik Aziz perlu berehat

KUALA LUMPUR 15 April - Pas seharusnya meminta Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berehat kerana beliau sudah terlalu uzur untuk terus berceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum ini.

Yang Dipertua Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam, Pas seharusnya lebih peka terhadap kebajikan bukan sahaja pemimpin, bahkan rakyat terutama warga emas dengan tidak bersifat sebagai 'ular dalam semak'.

"Jika konsep kebajikan itu pun gagal mereka fahami, bagaimana hendak mentadbir negara apabila pemimpin sendiri mempunyai masalah kesihatan serta perlu dipapah?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Nik Aziz yang terpaksa didukung sejauh 100 meter dari tempat beliau berceramah ke Masjid Jamek Parit Besar, Batu Pahat, Johor semalam, kerana keletihan berikutan program beliau yang padat sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 di sekitar negeri itu.

Nik Aziz, 82, yang sebelum ini kerap berhadapan dengan masalah kesihatan juga terpaksa duduk ketika menyampaikan ceramah yang lebih berkisar tentang agama.

Adiwijaya berkata, Menteri Besar Kelantan itu pernah berjanji untuk meletakkan jawatan jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbuat demikian, tetapi sehingga kini janji itu masih gagal dikotakan.

"Cukuplah, sudah terlalu lama beliau memerintah Kelantan, seeloknya beliau menumpukan sepenuh masa beribadat daripada berpolitik. Sudah tiba masanya muka-muka baharu ditampilkan dalam kepimpinan parti," katanya.

Sementara itu Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, Pas semakin kehabisan modal untuk berkempen sehingga sanggup mengenepikan fokus menjaga kebajikan Nik Aziz yang tergolong dalam kategori warga emas.

"Tidak perlu saya menasihatkan mereka kerana mana-mana pemimpin jika sudah terlalu lama menerajui parti atau negara akan 'memakan' diri sendiri selain fokus untuk membawa visi dan misi parti juga semakin kabur," katanya.

Zaleha yang juga Presiden Yayasan Suara Wanita berkata, ahli-ahli parti juga tidak seharusnya tamak dengan membiarkan seorang pemimpin untuk mentadbir terlalu lama sehingga menjejaskan faktor kesihatannya.

Kata beliau, Nik Aziz seharusnya mencontohi Dr. Mahathir dengan berundur, mengisi usia emas dengan beribadat serta memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada orang muda dalam parti.

1 comment

harrazcraft said...

politik itu ibadah... tapi bukan politik macam umno..

Powered by Blogger.