Tolonglah KPM, kami sangat tertekan



Z Ramli,

Saya merupakan seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah di Sarawak semenjak 2007. Sudah tahun ke-7 saya di sini. Dan setiap kali permohonan untuk pertukaran guru yang dibuka dua kali setahun, saya tidak pernah tertinggal membuat permohonan. Biarpun permohonan tetap juga mendapat jawapan gagal.

Cuma kali ini, saya dan rakan begitu rasa terseksa menunggu keputusan yang ditangguhkan yang sepatutnya disiarkan dua hingga tiga minggu lepas. Kami di sini umpama hidup tanpa nyawa menunggu jawapan tersebut. Barang-barang sudah dikemas di dalam kotak, malah ada yang sudah dihantar pulang.

Motivasi untuk datang bekerja juga sudah hilang sama sekali. Ini bukan kes saya seorang, beratus-ratus rakan-rakan mengalami situasi begini.

Saya sangat kesal dengan pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak dahulu gagal mengatasi perkara begini. Kami boleh terima berjauhan untuk suatu tempoh tertentu, tetapi tiada had limit ditetapkan untuk kami berada jauh dari keluarga.

Dan situasi sekarang makin menzahirkan lagi kegagalan KPM mengurus masalah penempatan guru. Kami hanya mahu keputusan itu dipercepatkan, dan tolonglah faham situasi manusia yang berjauhan dengan keluarga. Tolong bawa pulang kami yang sudah tujuh hingga sembilan tahun di sini.

Tolonglah KPM. Kami sangat tertekan.

No comments

Powered by Blogger.