Wanita, anak muda pemacu politik baru negara




NAMA: Liow Cai Tung

UMUR: 27

STATUS: BUJANG

PENDIDIKAN: Jurusan Ijazah Biochemistry dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)

JAWATAN: Ketua Biro Pembangunan Remaja dan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP

Penyertaan ramai anak muda ke kancah politik adalah pemangkin ke arah politik baru dengan gagasan idea lebih segar untuk memecah tembok ‘status quo’ politik lama yang masih terperangkap di dalam skop politik rasuah dan perkauman sempit.

Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Hafiz Zainuddin baru-baru ini berpeluang menemuramah wakil rakyat termuda DAP ini untuk membincangkan perihal pemilihan serta kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, penyertaan anak muda dan wanita dalam proses politik negara.

Foto: Wira Andika.

Setelah memenangi pilihan raya umum lalu, apa agenda utama saudari untuk Johor Jaya?

Selepas sebulan, saya berjaya menyelesaikan beberapa aduan penduduk berhubung masalah mereka contohnya seperti longkang tersumbat, jalan berlubang, sampah tak dikutip dan aduan lain.

Walaupun kita cuba mendidik mereka ke mana dan agensi mana sepatutnya mereka mengadu tapi mereka tetap mengharapkan ADUN sebagai penyelesai. Saya rasa ini disebabkan mereka sudah terbiasa dengan cara begitu yang diamalkan wakil rakyat sebelumnya. Sebelum ini Johor Jaya dikuasai MCA, dia lakukan semuanya mengenai masalah penduduk di sini sebab itu harapan mereka kepada saya lebih tinggi berbanding yang pernah dilakukan MCA.

Jadi bagaimana dengan masalah penduduk, adakah berjaya ditangani?

Sebaik saja kita mendapat aduan, kita akan menulis surat kepada agensi yang sepatutnya.

Selain masalah kebiasaan penduduk, apakah masalah utama di Johor Jaya?

Masalah keselamatan.

Bukan isu insfrastruktur?

Tidak dinafikan insfrastruktur adalah perkara penting kerana Johor Jaya adalah kawasan lama yang berusia lingkungan 20-30 tahun dan kebanyakan tempat di sini menghadapi masalah kesesakan lalu lintas, walaupun ia merupakan satu daripada isu tapi keselamatan menjadi masalah utama kerana ia berlaku setiap hari di sana.

Jenayah seperti ragut, kecurian berlaku setiap hari. Sekarang saya sedang merangka untuk mengadakan sesi dialog bersama penduduk untuk mencari jalan terbaik demi keselamatan mereka.

Sebenarnya Johor Jaya, kadar jenayahnya sangat tinggi. Sebelum pilihan raya baru-baru ini kadarnya amat tinggi, hanya beberapa bulan menghampiri pilihan raya baru ianya menurun sedikit tapi selepas pilihan raya naik balik.

Apa sebabnya?

Saya tidak pasti samada pihak polis ada membuat rondaan sekerap mungkin atau tidak. Daripada apa yang pihak polis beritahu, mereka mempunyai dua kereta peronda, jadi jika penduduk membuat sebarang aduan mereka akan sampai ke destinasi berlakunya kejadian jenayah secepat mungkin di antara 10 hingga 15 minit.

Saya rasa untuk membasmi jenayah ini, pihak polis patut menambah lagi anggota untuk melakukan rondaan di seluruh kawasan , bukan sekadar tertumpu di tempat tertentu saja.

Sebagai tenaga muda, apa pandangan saudari mengenai pembabitan anak muda terutama wanita dalam arena politik sekarang? Adakah ia perkembangan positif?

Ya, sudah tentu semakin memperlihatkan perkembangan positif, di mana wanita semakin mendapat tempat. Mana-mana negara sekalipun, lelaki dan wanita harus bekerjasama antara satu sama lain.

Pada saya, kenapa lelaki dilihat lebih mendominasi dalam keseluruhan politik negara, ia disebabkan jumlah pembabitan wanita itu sendiri yang tidak ramai.

Tetapi kita di Pakatan Rakyat, DAP khususnya memiliki contoh yang baik, di Selangor Hannah Yeoh diberi mandat sebagai Speaker. Ini secara umumnya merupakan satu pengiktirafan kepada wanita.

Apa pula pendapat saudari mengenai ramai rakyat yang bekerja di Singapura?

Ia sudah tentu disebabkan mata wang dan nilai tukaran wang mereka yang lebih tinggi. Sebab itu ada di antara mereka yang tinggal di Johor Bahru tapi sanggup berulang-alik ke seberang kerana ingin mendapat gaji lebih lumayan.

Adakah saudari mahu melihat mereka terus bekerja di sana?

Sudah tentu tidak. sebab itu kita perlukan perubahan supaya mereka boleh kembali bekerja di negara sendiri kerana kerajaan sedia ada jelas tidak mampu memberi jaminan pekerjaan dan keselasaan hidup kepada mereka.

Selain peluang pekerjaan terhad? Apa lagi masalah yang saudari lihat membelenggu orang muda di Johor? Adakah pendidikan?

Dari segi pendidikan, saya lihat tidak ada banyak masalah sebabnya kebanyakan rakyat yang bekerja di Johor Bahru adalah golongan terpelajar, jadi ia bukan kerana mereka tidak memiliki pendidikan yang cukup dan menjadikannya penyebab untuk tidak bekerja di negara sendiri. Mereka sebenarnya memilih peluang pekerjaan yang bagus mungkin untuk membantu keluarga, malangnya ianya tidak dapat diperoleh di negara sendiri.

Kesimpulan saudari mengenai kemenangan besar Pakatan Rakyat di Johor? Adakah kerana rakyat sudah mula bangkit atau disebabkan isu kaum?

Kemenangan ini saya kira disebabkan rakyat terinspirasi daripada kesedaran politik yang berlaku di Singapura, di sana rakyat sudah mula menuntut perubahan daripada pemerintah sedia ada untuk kehidupan yang lebih stabil.

Mengapa saya kata rakyat menjadikan Singapura sebagai contoh? Sebab kita di Johor, jaraknya dari Kota Singa itu sangat dekat, jadi setiap perkembangan atau berita dari sana dapat kita perolehi setiap hari. Malah kita juga mendapat saluran televisyen dari sana, jadi ia menjadi sumber rujukan berguna kepada kita.

Sebelum pilihan raya ramai rakan saya tidak tahu apa perkembangan di Johor, ketika rakyat di Pulau Pinang, Perak dan seluruh negara mahukan perubahan tapi Johor tetap kekal begitu seolah-olah tidak akan berlaku apa-apa. Selain perkembangan Singapura, kesedaran itu lahir dan merebak berpunca daripada pengaruh media sosial seperti Facebook.

Mengenai isu perkauman yang sentiasa dimainkan Barisan Nasional (BN) setiap kali pilihan raya umum, ia hanya berjaya di kampung, manakala di bandar cubaan menggunakan racun perkauman sudah tidak memberi makna. Jika mereka terus memainkan sentimen itu sekali pun, rakyat di kawasan bandar tidak mempercayainya. Rakyat kini tidak lagi termakan dengan politik tidak sihat berasaskan kaum yang direka BN.

Jadi kesimpulannya Pilihan Raya Umum lalu adalah kebangkitan anak muda dan penduduk bandar?

Ya, daripada jumlah undi saya kita dapat melihatnya kerana sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, kawasan saya mempunyai pengundi seramai 38,000 orang dan untuk pilihan raya terbaru jumlahnya bertambah kepada 51,000.

Saya menang dengan majoriti 1,087 undi, ini hasil sokongan pengundi muda yang mengundi buat kali pertama. Majoriti kemenangan agak kecil ini pada saya merupakan motivasi untuk bekerja lebih kuat.

Bagaimana pula dengan undi Melayu?

Undi Melayu yang saya dapat adalah antara 29 hingga 30 peratus. Johor Jaya adalah kawasan campuran dengan 47 peratus Cina, 44 peratus Melayu. 30 peratus pada jumlah yang agak bagus untuk saya sebagai calon baru.

Tapi saya masih perlu bekerja keras terutamanya di kawasan Melayu sebab ada beberapa kawasan di kampung jumlah undi yang saya dapat agak sedikit. Perlu lebih melakukan banyak aktiviti, kerana aktiviti sebelum ini tidak cukup.

Saudari rasa perlukah orang muda Melayu terlibat langsung dengan politik dan membantu DAP?

Sudah semestinya dan kita sentiasa menerima dengan tangan terbuka, kita perlukan bantuan untuk meningkatkan lagi kesedaran di kawasan pedalaman dan kampung.

Kemunculan ramai golongan muda menjadi Yang Berhormat, adakah saudari merasakan kelompok senior atau ‘orang lama’ masih relevan?

‘Orang lama’ tidak boleh kita ketepikan, memang kita sebagai golongan muda lebih bertenaga daripada mereka, tapi kita kurang daripada segi pengalaman. Kita tetap perlukan ‘orang lama’ untuk membimbing dan memberi pandangan.

Generasi muda memang memiliki lebih banyak idea, tapi kecekapan ‘orang lama’ tidak boleh dinafikan. Sebab itu, pada saya dua generasi ini perlu bergabung untuk mendapatkan hasil lebih baik.

Harapan saudari pada pilihan raya umum akan datang?

Tentunya saya mengharapkan kita berjaya mengubah Malaysia. Saya juga berharap pada masa akan datang lebih ramai orang muda terutamanya wanita membabitkan diri dalam politik supaya ada imbangan baik antara lelaki dan wanita agar kita dapat berkongsi pemikiran masing-masing demi membentuk sebuah negara yang lebih maju, membangun serta dapat memberi kesenangan kepada semua rakyat.-Roketkini.com
- See more at: http://roketkini.com/2013/06/17/wanita-anak-muda-pemacu-politik-baru-negara/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+RoketKini+%28roketkini.com%29#sthash.ASTv9XBA.dpuf

No comments

Powered by Blogger.