AS intip panggilan telefon 35 pemimpin


BRUSSELS - BELGIUM . Dokumen terbaru didedahkan pembocor program perisikan Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden mendakwa Washington memantau panggilan telefon 35 pemimpin di seluruh dunia.

Akhbar The Guardian melaporkan, program pengintipan itu dilakukan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) adalah hasil 'kerjasama' dengan pegawai di Rumah Putih, Jabatan Pentadbiran dan Jabatan Pertahanan AS.

Difahamkan, sebanyak 200 nombor telefon termasuk 35 milik pemimpin dunia dipantau di bawah program kontroversi tersebut.

Susulan pendedahan tersebut, Jerman dan Perancis bertindak menggesa Washington supaya bersetuju dengan peraturan berhubung pengintipan selepas Canselor Jerman, Angela Merkel turut menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Presiden Kesatuan Eropah (EU), Herman Van Rompuy berkata, Perancis dan Jerman mahu mengadakan rundingan dua hala bersama AS untuk membincangkan tentang perkara itu dalam masa terdekat.

"Pemimpin 28 negara EU sepakat menyatakan pendirian tegas bahawa perkongsian atau kerjasama perkhidmatan rahsia perlu berlandaskan kepercayaan dan hormat-menghormati antara satu antara sama lain," jelasnya lagi menurut laporan AFP.

No comments

Powered by Blogger.