Siapa bayar artis K-Pop?

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Siapa sebenarnya yang membiayai bayaran ke atas artis Korea yang membuat persembahan pada sambutan Hari Belia Negara 2012? Adakah ia dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau sebenarnya ditanggung oleh pihak swasta?

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya pada Rabu mengakui bahawa konsert K-Pop itu dibiayai oleh KBS.

"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran daripada pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.

"Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-Pop di Hari Belia (Negara) 2012," katanya dalam satu kenyataan media yang disebarkan di Facebook.

Namun beberapa jam selepas kenyataan Khairy itu, Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab semasa penganjuran Hari Belia Negara 2012, Datuk Seri Shabery Chik menjelaskan bahawa wang itu adalah tajaan yang diterima oleh KBS bagi menjayakan Hari Belia Negara 2012.

"Wang tajaan dimasukkan ke dalam akaun MSN (Majlis Sukan Negara) bagi melancarkan pengurussan Hari Belia Negara," katanya.

Shabery sekarang ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kata Shabery, dakwaan Ketua Audit Negara yang menyatakan KBS membayar K-Pop pada Hari Belia Negara dengan jumlah RM1.6juta adalah benar "kerana ia adalah dari wang tajaan".

"Pihak AG Audit (Ketua Audit Negara) culas dalam menjelaskan perkara sebenara kerana wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun Majlis Sukan Negara tidak dinyatakan oleh pihak Audit Negara sebaliknya hanya mengambil kira wang yang keluar dari akaun KBS," tambah kenyataan itu.

Menurut Shabery lagi, wang tajaan yang diterima bagi menjayakan Hari Belia Negara itu berjumlah RM20juta dan tidak ada pembaziran wang rakyat seperti dakwaan pihak pembangkang yang katanya "hanya mengikut rumusan pendek laporan Pihak Audit Negara."

Shabery berharap rakyat "celik mata" kerana kerajaan juga tidak mahu pembaziran berlaku seperti mana yang didedahkan Laporan Audit Negara

Namun dalam isu KBS, Shabery menegaskan ia bukan pembaziran wang rakyat sebaliknya "adalah wang tajaan dari syarikat korporat dalam dan luar negara yang mengambil bahagian pada Hari Belia Negara".

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan syarikat korporat berkenaan.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed tahun lalu dilaporkan berkata, KBS tidak menggunakan wang kerajaan bagi membayar persembahan tiga kumpulan K-Pop untuk acara berkenaan sebaliknya kos tersebut dibayar menggunakan wang penajaan

Wang penajaan itu, menurut laporan tersebut, berjumlah RM28 juta dalam bentuk wang tunai, barangan dan pelaksanaan pelbagai program.

Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada Selasa menegur KBS kerana membelanjakan sebanyak RM2.94 juta bagi penganjuran Hari Belia Negara 2012 yang disifatkan "tidak dibuat secara berhemat".

KBS dalam maklum balasnyah bagaimanapun berpendapat kos itu "masih dalam kadar penjimatan" kerana peningkatan acara dan pengunjung berbanding Hari Belia Negara pada tahun sebelumnya.

"Berpandukan kenaikan ini Kementerian hanyalah berbelanja sebanyak 80% walaupun peningkatan jumlah acara sebanyak 160%," lapor KBS kepada Ketua Audit Negara.

No comments

Powered by Blogger.