Ustaz Azam dari kacamata seorang sahabat
Orangnya santun berbudi bahasa tinggi, tidak pernah bersuara keras, senang ketawa, mudah tersenyum, teratur bahasanya. Mudah ditegur, sering merujuk dan bertanya jika terasa kurang di mana-mana.
Saya mula merasi auranya ketika dia mengimamkan solat Subuh pada pagi jumaat, sewaktu aktiviti tamrin Dewan Pemuda PAS Kedah di Masjid kampung saya sekitar tahun 2006. Suaranya lunak dan ringan membaca surah As-Sajadah dan Surah Al Insan, jarang sekali mendengar bacaan seumpamanya... Tidak terasa panjangnya surah-surah itu, kerana tarikan lunak suara dan kefasihan lafaz-lafaznya.
Ayahnya sudah kembali ke Rahmatullah, meninggalkan dia bersama ibu dan adik-adiknya. Dia penyayang seperti ibunya, yang pernah beberapa kali menyambut panggilan telefon...
"Assaamualaikummm! Nak cakap dengan Azam kaaa?"
"Ya mak cik, Azam ada mak cik"
" Maaf laa nak, Azam tak dakk, dia keluaq sat pi kedai. Nama anak ni sapa? Satgi dia balik mak cik suruh dia telepon balik"
"Saya Sanusi mak cik, kawan dia dalam dewan pemuda"
" Ooo... Sanusi yang telepon hari tuu... Ada hal mutahak ka Sanusi? Tak pa naaa, satgi mak cik bagitau Azam Sanusi telefon"
"Ok mak cik, Assaamualaikum!"
"Waalaikumussalammmm!"
Sebelum meletakkan telepon ibunya siap berpesan " Adik! Sat lagi abang balik bagitau dia Sanusi telepon dia, suruh dia telepon balik.
Telefon saya masih di telinga gara-gara sambutan keibuan yang sangat menarik di talian, sayang untuk ditamatkan.
Demikian ibunya, demikianlah Ustaz Mohd Azam! Maka, sepanjang dalam Dewan Pemuda, dia diamanahkan mengendalikan pengurusan Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti) yang melibatkan 12,000 pelajar pra sekolah, ribuan guru dan pengelola Pasti seluruh Kedah. Sekolah-sekolah Pasti berkembang pesat dan teratur dibawah pimpinannya.
Dia mewujudkan koperasi dan pusat jualan untuk menambah dana membantu guru-guru Pasti yang bergaji rendah. Majlis Guru Pasti (MGP) aktif dan cergas merencana berbagai program dibawah kelolaaan Ustaz Azam. Pelajar makin bertambah, guru-guru makin ramai, kokurikulum juga semakin hebat.
Usaha pentingnya ialah membantu menambah pendapatan guru-guru tanpa membebankan waris dengan kenaikan yuran. Setiap kali meneliti dan mendengar laporan tentang Pasti, dada sebak dengan kesungguhannya, dan kepala menjadi berat membayangkan kepayahan yang ditempoh oleh Ustaz Azam dan warga Pasti. Sukar mencari orang yang memiliki kesanggupan bertaraf tinggi seperti Azam!
Ustaz Azam sebelum menjadi Ketua Pemuda Jerai, dia berkhidmat di banyak posisi sama ada dalam pemuda dan MTD. Dia sentiasa ada di markaz. Sepanjang saya berkhidmat dengan Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga ADUN dan YDP PAS Jerai, yang terkenal dengan 'cengey' dan tegas, sukar berkompromi dengan kesilapan dan sentiasa mahukan hasil tugasan yang paling baik....Ustaz Azizan tidak pernah meninggikan suara dengan Ustaz Azam, di depan atau belakangnya.
"Azam tu budak baik tuuu..."
"Azam tu budak betoiii, beraluihh dengan orang tua-tua..."
Pada waktu lain, Ustaz Azizan menzahirkan belas kasihnya kepada Ustaz Azam....
"Kesian Ustaz Azam tuu...ayah dia tak dak dah... Nak urus menikah kahwin nanti tentu susah...nasib dia macam aku la jugak lahh! Untunglah siapa dapat menantu macam dia...orangnya baik sangat-sangat."
Ustaz Azam Samat telahpun dipilih memikul amanah menjadi calon PAS bagi menggantikan Allahyarham Ustaz Azizan. Sg Limau bertuah, dan masyarakatnya bakal beruntung sekali lagi kerana kelahiran susuk-susuk hebat ini dari buminya, menumpahkan khidmat dan limpahan anugerah Allah kepada watannya. Dialah pengganti Ustaz Azizan yang menghampiri kesempurnaan, dari semua sudut - kecuali Ustaz Azam tidak garang! Dia paling cocok dengan Sg Limau yang pernah mengirimkan TG Hj Yahya Joned, TG Ustaz Azahari dan Ustaz Azizan ke Dewan Undangan Negeri Kedah. Mereka semuanya adalah tokoh ilmuan dan aset besar kepimpinan di Kedah.
Sehingga kini, selepas bersahabat bertahun-tahun, Ustaz Azam masih memanggil saya "Abang Sanusi" walaupun jarak usia kami hanya dua tahun. Bertuahlah ibunya, adik-adiknya, sahabatnya, pimpinannya dan masyarakat yang bakal dipimpin oleh Ustaz Azam....
Calon PAS Dun Sg Limau. Semoga dia tabah dan berupaya mengharungi amanah besar ini untuk ummah. Siiru 'ala barakatillah.
Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Kedah.
No comments
Post a Comment