News Update :

GERAKAN ISLAM ANTARA WALA DAN TAKSUB

May 20, 2015



Islam mengajar umatnya supaya tajarrud ataupun membebaskan diri dari segala ideologi yang bertentangan dengan ajaran islam. Tidak boleh mencampur adukkan islam dengan ajaran lain apatah lagi mengambil sebahagian ajaran islam dan menolak sebahagian lain. Islam sudah cukup sempurna kerana ia adalah ciptaan Tuhan Maha Sempurna, bukan ciptaan mana-mana manusia yang bersifat lemah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah islam.

Pun begitu, islam tidak mengajar umatnya supaya menolak sebarang pembaharuan dan idea-idea baru yang bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan islam walaupun tidak pernah diamal nabi, sahabat, ulama atau nenek moyang kita sebelum ini. Nabi banyak menggunapakai kehebatan tamadun lain untuk manfaat umat islam seperi matawang dinar dirham, strategi parit (khandaq), cop mohor dan pakaian-pakaian rekaan fesyen Parsi dan Rom. Sirah baginda menceritakan segalanya.

Sabda Nabi:
Kebijaksanaan adalah barangan tercicir milik orang islam. Dimana sahaja yang dia temui, maka dialah yang lebih berhak untuk mengambilnya.

Bahkan, islam mencela pula kita meniru buta amalan dan cara orang-orang dulu tanpa menilai terlebih dahulu dengan ilmu dan realiti semasa. Ia adalah amalan umat-umat dahulu yang enggan menerima dakwah pemulihan dan pembaharuan yang dibawa nabi-nabi mereka sehingga menerima laknat dari Allah.

Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan yang enggan bayar zakat. Amirul Mukminin Umar RA banyak memperbaharui sistem pentadbiran pemerintahan islam. Khalifah Uthman pula memusatkan rujukan al-Quran kepada 5 mushaf sahaja dan Imam Ali RA buat pertama kalinya menubuhkan suruhanjaya bebas mengkaji semula jawatan khalifahnya.

Semua contoh ini adalah perkara baru yang belum dibuat di zaman nabi. Generasi islam terdahulu amat mengerti konsep islah dan tajdid.

Sebenarnya tarbiyyah islamiah melahirkan umat yang wala' bukan taksub, kritis bukan ingkar, idealistik juga realistik, terbuka tanpa terbabas, dan berprinsip bukan rigid.

Muhasabah ialah salah satu bentuk check and balance terbaik untuk islam sentiasa bergerak maju kehadapan. Secanggih manapun kereta yang dicipta, tetap dipasang cermin sisi dan cermin pandang belakang. Walaupun kita mungkin tidak mampu untuk meniru cara umat islam dahulu, tapi kita mungkin boleh lakukan yang lebih baik dari mereka.

GERAKAN ISLAM

Sesuai dengan namanya sebagai sebuah 'gerakan', perlu sentiasa bergerak dari satu pendekatan ke satu pendekatan, dari satu strategi ke strategi yang lain, menyusun misi dari tangga pertama hinggalah sampai ke matlamat tertingginya. Kekal dengan tradisi semata-mata adalah siatu bidaah besar. Kata Syeikh Ali An-Nadwi: Menggabungjalinkan antara tradisi lama yang baik dengan penemuan baru yang bermanfaat.

Pendokong islam tidak boleh statik dengan cara kerja orang-orang dahulu sahaja. Perlu difahami cara kerja mereka adalah sesuai dengan keadaan persekitaran mereka di zaman kegemilangan mereka. Ianya perlu sentiasa dimuhasabah dan disegarkan dengan langkah seterusnya. Setiap anak tangga yang didaki memerlukan booster tersendiri, yang mungkin berbeza dengan sebelumnya kerana setiap anak tangga itu punya halangan musuh yang berbeza-beza.

Kata Imam al-Qurafi: Jumud/rigid dengan hanya mengikut kata-kata orang terdahulu selama-lamanya adalah satu kesesatan dan kejahilan terhadap maksud ulama-ulama dan orang terdahulu itu sendiri.

Kalaulah tokoh yang kita sanjungi itu hidup pada zaman kita, pasti mereka akan baharui prinsip lama yang mereka perkenalkan demi tuntutan massa. Nabi Muhammad SAW yang diutus lewat abad ke tujuh tidak lagi bulat-bulat membawa ajaran umat dahulu. Nabi Isa AS juga yang bakal turun akhir zaman nanti tidak lagi membawa ajaran Kitab Injilnya, tetapi menjunjung syariat hari ini. Imam Syafie sendiri terkenal dengan mazhab lama dan mazhab baru demi memenuhi dua latar yang berbeza.

Islam tidak sama dengan mana-mana ajaran yang memuja bapa ideologinya seperti Karl Marx oleh Komunis, Adolf Hitler oleh Nazi, Mahatma Gandhi oleh anti-kasta ataupun Nelson Mandela oleh anti-apartied. Sebarang pujaan melambung terhadap beberapa tokoh dalam islam adalah diluar norma agama. Bahkan mendewa-dewakan batang tubuh Rasulullah SAW sendiri ditegah oleh islam supaya tidak terjadi sepertimana Kristian yang mendewakan Nabi Isa AS.

Merubah strategi pentadbiran, strategi dan cara kerja bukan bermakna kita ingkar terhadap kepimpinan sebelum ini, tetapi itulah makna kita wala' terhadap tarbiyyah yang mereka ajarkan selama ini. Wala' diletak bukan kepada batang tubuh pimpinan dan tokoh semata-mata, tetapi untuk agama Allah jua.

Ibnu Qayyim apabila dikritik kerana menyalahi pendapat gurunya Imam Ibnu Taimiyah, beliau berkata: Aku menyayangi Ibnu Taimiyah, tetapi kebenaran itu lebih aku sayangi daripada Ibnu Taimiyah.

TAKSUB

Pimpinan sendiri sebenarnya rimas dengan anak buah yang tidak kritis yang hanya tahu mengampu dan memuja tanpa menuang idea-idea segar yang boleh membantu mereka memajukan gerakan. Itu bukan taat namanya tapi taksub.

Kadang-kadang mereka tertekan dengan sikap anak buah yang ikut bulat-bulat apa sahaja mereka kata tanpa komen dan istifsar. Seolah-olah membiarkan mereka sendirian memegang payung islam sedangkan yang lain hanya berlindung di balik payungannya. Letih.

Kata-kata seperti "sebelum ni buat macam ni" atau "ustaz tu suruh buat macam tu" atau "Orang dulu tak pernah buat macam ni" harus diminimakan dalam merencana sesuatu. Jika ingin nyatakan juga, datangkan illah dan sebab-sebabnya sekali bukan meniru buta. Belajar cara ulama mengkaji Tarikh Tasyrik sebelum meniru ijtihad terdahulu.

Kalau ianya hadis nabi sekalipun, ulama' tidak terus amalkan dengan zahir makna semata-mata. Asbab Wurudnya perlu dikaji, Nasikh Mansukhnya perlu dikaji, gaya bahasa arabnya perlu dikaji, dan waqi'nya juga perlu dikaji! Telusurilah disiplin Ulum Quran, Ulum Hadis dan Usul Fiqh sebelum berIstinbat.

Kata Imam Syatibi: Beramal dengan zahir nas secara terlampau mengikut sahaja adalah jauh dari maksud syariat. Sebaliknya tidak mempedulikannya juga adalah suatu kecuaian.

Revolusi dan inovasi adalah ajaran islam. Sabdanya:
Barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang baik, maka untuknya pahala dan untuknya juga pahala orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.
Dan barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang tidak baik, maka untuknya dosa dan untuknya juga dosa orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.

WALA'

Dalam menjunjung aspirasi baru, 7 perkara perlu diambil kira:

1. Ikhlaskan niat sebelum berbicara. Jangan mengharap dari lontaran pendapat dan kritikan selain redha Allah dan kebaikan jemaah semata-mata bukan kerana kemasyhuran, kerana dibayar pihak tertentu atau kerana benci/marah/tidak puashati terhadap pihak lain

2. Al-Quran dan Hadis perlu menjadi pegangan utama agar tidak terbabas. Jangan rasa kita lebih bijak dari pencipta kita sendiri dan nabiNya. Hadis larangan mengada-adakan sesuatu yang bukan dari islam (bidaah) harus diteladani sekemasnya.

3. Pengalaman dan pendapat orang dahulu perlu diteliti supaya kita tahu dari titik mana kita harus bermula. Jangan sampai mengulang-ulang kajian yang sudah diterokai dan ditemui jawapannya sejak lama dahulu. Membazir masa dan kurang faedahnya.

4. Beradab dengan ulama'-ulama' lain yang lebih senior. Masing-masing bersungguh berijtihad untuk terus memajukan islam. Cara yang mereka guna adalah yang terbaik untuk zaman mereka. Alimnya kita hari ini pun kerana kesungguhan mereka memelihara agama supaya sampai ke generasi kita.

5. Berani mengakui kesilapan. Sebagaimana kita berani mengkritik, harus juga berani untuk dikritik. Jangan taksub pada pendapat sendiri kerana semua manusia tidak sempurna. Tawadhu adalah sikap terbaik kerana kita berpendapat untuk mencari benar bukan mencari menang. Tazkiyah Nafs adalah ubat untuk membuang ego diri.

6. Mentaati pimpinan selama tidak bercanggah dengan nas. Walaupun ruang perbincangan sentiasa dibuka, itu bukan bermaksud kita boleh menangguh arahan yang dikeluarkan kerana mudaratnya besar melebihi mudarat sekiranya ijtihad pimpinan itu salah. Bahkan, kesilapan sesebuah jemaah adalah hikmah terbesar dari Allah yang menginginkan sesuatu yang terbaik disebaliknya.

Ambil contoh Saidina Ali yang mulanya mempersoal kewajaran tahaluf siyasi antara muslimin dan musyrikin, tetapi akur setelah mengetahui bahawa ia adalah sebuah arahan. Lihat juga contoh Hubaib bin Munzir yang berbincang dengan baik arahan Nabi dalam perang Badr sehingga Nabi mengubah strategi asal untuk menuruti cadangan beliau. Fiqh Siasah harus dihadam rapi.

7. Mengakui bahawa khilaf dalam berpendapat adalah lumrah hidup. Masing-masing ada pendapat dan bukan semua pendapat boleh disatukan. Jalan terbaik ialah menghormati pendapat masing-masing dan akur apabila pandangan kita belum diterima. Walaupun terbukti pandangan Saidina Umar lebih baik, beliau akur dengan keputusan nabi yang memilih pendapat Saidina Abu Bakar dalam beberapa peristiwa. Jika keputusan itu adalah keputusan kepimpinan jemaah, ia adalah yang paling tepat. Fiqh Harakah juga perlu terisi di ruang minda.

Sebagai konklusi, binalah akal dengan tapak akidah, syariat dan akhlak yang mantap terlebih dahulu sebelum membina idea yang mencakar langit.

Muhasabah bersama demi menuju ke arah kebaikan.

(Alang Ibn Shukrimun)
20/4/2014

Artikel berkaitan KENYATAAN

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.