PROTON ERTIGA LANCAR MINGGU HADAPAN





PROTON ERTIGA LANCAR MINGGU HADAPAN

Pengumuman kolaborasi antara Proton Holdings Bhd (Proton) dan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (SAM) pada Jun tahun lalu menandakan berkuburnya jenama Suzuki di Malaysia.

Mengukuhkan lagi usahasama berkenaan, kedua-dua pihak telah memulakan langkah strategik utama. Langkah pertama ialah melakukan rasionalisasi operasi Suzuki Malaysia Automobile.

Selain itu, menerusi memorandum persefahaman (MoU) dan Persetujuan Lesen dengan Suzuki Corp Japan itu memberi akses kepada Proton untuk berkongsi model, platform, enjin dan teknologi automotif Suzuki.

Maka kita akan melihat model-model rebadge di pasaran tempatan. Dan diharapkan percaturan ini dapat mewujudkan era baharu buat Proton. Sepertimana kejayaan usahasama di antara Suzuki dan Maruti di India.

Model pertama yang bakal menjengah pasaran tempatan di bawah kolaborasi berkenaan ialah Proton Ertiga. Model rebadge tersebut bakal dilancarkan pada 24 Disember hadapan.

Sebelum pelancaran, pihak media berpeluang memandu uji MPV (kenderaan pelbagai guna) kompak itu di litar ujian khas, Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam, Selasa lalu.

Model terlaris di Indonesia itu didatangkan dengan enjin berkod K14B. Enjin 1.4 liter MPI itu mampu menghasilkan kuasa 92PS pada 6,000rpm dan 130Nm pada 4,000rpm. Penghantaran kuasa ke roda hadapan ditugaskan kepada transmisi 5-kelajuan manual atau 4-kelajuan automatik.

Pasaran tempatan akan menerima dua pilihan varian iaitu Proton Ertiga Executive dan Proton Ertiga Executive PLUS. Lebih menarik model tersebut menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Sekaligus menjadi MPV kompak pertama menerima status itu.

Dari segi rekaan tidak jauh berbeza dengan model sedia ada di Indonesia. Malah, ketika Gaikindo Auto Show di Jakarta yang lalu, Sinar Turbo berpeluang melihat lebih dekat model Ertiga.

Selain logo Suzuki yang digantikan dengan lencana Proton, bahagian belakang Ertiga bagi pasaran tempatan sedikit berubah. Bahagian kabin masih boleh dikatakan selesa. Waima bagi penumpang barisan ketiga. Masih terbilang lapang bagi ketinggian orang Asean.

Malah, Ertiga juga menyediakan pendingin hawa yang boleh dilaraskan bagi penumpang kerusi kedua dan ketiga.
Model MPV itu memiliki dimensi panjang (4, 265mm), lebar (1, 695mm), tinggi (1, 685mm) dan jarak roda (2, 740mm).

Proton menawarkan empat pilihan warna iaitu putih, kelabu, coklat dan merah. Seperti mana model Proton yang lain, Ertiga didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer perbatuan.

Soal harga. Tunggu sahaja pada majlis pelancaran nanti. Menurut Sinar Turbo harga pasti tidak jauh berbeza dengan pesaingnya Perodua Alza, Toyota Avanza dan Nissan Grand Livina. Di Indonesia, Ertiga dijual pada harga bermula Rp184, 000,000 (RM60, 720).

No comments

Powered by Blogger.