Guang Eng Kencing Rakyat Lagi?

Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my

KERAJAAN mencadangkan kadar 10 peratus cukai untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal diperkenalkan pada 1 September depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen, Ogos ini bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, pengenalan semula SST dijangka menyumbang RM4 bilion kepada hasil kerajaan.

“Dengan pengenalan sifar GST pada Jun lalu, kerajaan dijangka hilang RM21 bilion hasil tahun ini.

“Bagaimanapun, pengenalan semula SST, peningkatan harga minyak mentah dan tambahan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyumbang tambahan RM14.4 bilion hasil pada 2018,” katanya selepas merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Chartered Tax Institute of Malaysia.

Sementara itu, bagi menampung baki perolehan yang hilang daripada sifar GST, Guan Eng menegaskan, adalah susah mengenal pasti penjimatan bernilai RM10 bilion.

“Ini termasuk mengecilkan dan menghentikan projek bertindih dan program yang tidak penting yang mana minggu lalu, kita berjaya mengurangkan kos akhir LRT3 sebanyak 47 peratus atau RM15 bilion kepada RM16.63 bilion berbanding bajet asal iaitu RM31.65 bilion,” katanya.

Berhubung peranan LHDN sebagai pengutip cukai, Guan Eng berkata, kerajaan berjanji untuk tidak lagi menyerbu syarikat yang mengelak untuk membayar cukai dengan anggota keselamatan bersenjata.

“Tiada lagi taktik kasar seperti sebelum ini. Taktik itu hanya untuk orang jahat.

“Jika ada masalah, datang ke pejabat LHDN, mari bincang dengan pegawai kita,” katanya.

Guan Eng turut mengulangi komitmen kerajaan untuk melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), berjumlah RM50 bilion.

“Setakat ini kita sudah bayar RM7 bilion dan sehingga akhir tahun ini, kita jangka akan bayar RM1.3 bilion lagi,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.