Zahid peroleh 78 undi, KJ 53 undi

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk Tahun 2018 di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

Zahid peroleh 78 undi, KJ 53 undi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO untuk penggal 2018-2021 pada pemilihan parti semalam, memperoleh 78 undi.

Pencabar terdekatnya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula mendapat 53 undi, manakala Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memperoleh 28 undi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata ia berdasarkan keputusan yang disahkan sehingga jam 12.30 tengah malam ini.

"Sehingga 12.30 tengah malam ini, baki 34 Bahagian UMNO belum mendapat keputusan rasmi," katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, tengah malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Tengku Adnan berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan pula memenangi pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO selepas memperoleh 110 undi, sekali gus menewaskan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendapat 47 undi.

Katanya, dua calon Naib Presiden UMNO disahkan menang iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Sehingga jam 12.30 tengah malam ini, dua lagi calon iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani sedang bersaing sengit (dari segi undi)," katanya.

Tengku Adnan turut memaklumkan Mesyuarat UMNO Bahagian Bakri pula terpaksa ditangguhkan kerana ada beberapa masalah.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, jawatan Pengerusi Tetap UMNO dimenangi Tan Sri Badruddin Amiruldin.

"Untuk jawatan lain, keputusan akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.

No comments

Powered by Blogger.