Foto intim Eli: Editor Malay Mail letak jawatan

Editor lamanweb Malay Mail, U-En Ng telah meletak jawatan ekoran laporan akhbar berkenaan berhubung kontroversi pendedahan gambar intim ahli exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Ng mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam forum bertajuk 'Privasi: Adalah ia wujud di Malaysia? Tiba masa untuk digubal undang-undang?' anjuran Majlis Peguam semalam.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini, Ng yang menjadi salah seorang ahli panel di forum tersebut, berkata laporan mengenai gambar intim Elizabeth gagal untuk menyatakan kebenaran dan sebaliknya telah menimbulkan lebih banyak masalah.

Soal prinsip


Beliau menegaskan bahawa pihak media mesti mengamalkan selia-diri dan mengelak melaporkan berita yang menceroboh privasi peribadi.

Oleh itu, Ng berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah kerana soal prinsip.

Bagaimanapun, Ng bersetuju bahawa menceroboh privasi demi kepentingan awam mungkin ada masanya boleh diterima, seperti dalam kes pegawai kerajaan menerima rasuah di rumah mereka sendiri.

Malay Mail adalah antara dua media yang pertama menyiarkan berita mengenai gambar intim Elizabeth yang diedarkan kepada umum pada 16 Februari lalu

No comments

Powered by Blogger.