MB Kedah minta pengilang elak buang pekerja



ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, meminta pengilang dan pelabur memikirkan kaedah terbaik untuk menangani masalah pemberhentian pekerja dalam situasi ekonomi yang dijangka semakin buruk.

Bercakap kepada pihak industri di sini hari ini, beliau berkata majikan seharusnya lebih memahami dan mengambil kira beban setiap pekerja ditengah-tengah krisis yang sedang berlaku, terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

"Saya amat berharap pihak pengilang dan pelabur dapat mencari kaedah terbaik untuk menangani isu ini dan menjadikan langkah pemberhentian pekerja sebagai jalan penyelesaian terakhir," katanya pada Majlis Dialog Industridan Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional, peringkat negeri.


Azizan turut menyarankan pakej ransangan ekonomi yang lebih menyeluruh diguna pakai bagi menangani serta merangsang kembali sektor asas dalam ekonomi, dan tidak hanya menumpukan kepada sektor tertentu sahaja.

"Ini berikutan kajian Persatuan Pengilang Persekutuan yang mendapati situasi ekonomi nasional akan bertambah buruk untuk tempoh enam hingga ke 12 bulan akan datang, di mana sektor asas seperti elektrik dan elektronik, kimia, plastik dan produk berasaskan petroleum akan mengalami kesan yang ketara," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.