Ibrahim Ali, PAS kata pergi, Umno kata mari?

Oleh : Mat Zain Mat Isa


Kebelakangan ini semakin ketara keserasian antara Ahli Par limen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dengan para pemimpin Umno. Dalam banyak hal, hujah dan pendirian beliau sealiran dengan parti yang telah menggantung keahliannya seumur hidup itu.






Keadaan itu sekaligus menjadikan pemimpin yang telah beberapa kali bertukar parti itu semakin tersasar daripada halatuju PAS, parti yang meminjamkan simbol dan membantu kemenangan mudah kepadanya dalam pilihan raya umum lalu.



Beberapa ucapan Ibrahim, sama ada di Dewan Rakyat atau di luarnya sejak akhir-akhir ini, terutama menyentuh Pakatan Rakyat, bukan sahaja tidak sealiran dengan PAS, malah menguntungkan Barisan Nasional (BN).



“Ibrahim bukan sahaja membangkang Umno dan Barisan Nasional, tetapi dia juga membangkang kita (PAS). Sebagai contohnya semalam (19 Februari) di Parlimen dia telah bertekak dengan Ahli Parlimen yang merupakan wakil PAS sendiri,” keluh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, Jumaat (20 Februari) lalu.



Menurutnya, jika pun Ibrahim yang telah mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen Bebas tidak berkongsi pandangan dengan PAS dalam sesuatu perkara, dia tidak wajar menyerang parti itu kerana ia bertentangan dengan prinsip persefahaman yang dipersetujui sebelum ini. Apatah lagi beliau menang dulu atas laluan diberikan PAS.



“PAS memberi laluan kepadanya (Ibrahim) atas pertimbangan dia sudah insaf dan boleh bersama dengan kita, tetapi sebaliknya yang berlaku,” ujar Takiyuddin.



Beliau mengulas tindakan terbaru Ibrahim yang bukan sahaja bertegang urat dengan wakil-wakil Pakatan di Parlimen, malah sanggup mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.



Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong minggu lalu, Ibrahim sekali lagi mencemarkan kesucian Dewan dengan perkataan-perkataan seperti ‘bangsat’, ‘anjing’ dan ‘beruk’. Lebih mengecewakan, label berkenaan ditujukan kepada dua wakil Pakatan, N. Gobalakrishnan (Keadilan-Padang Serai) dan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam).



Keceluparan Ibrahim itu menyebabkan sebahagian besar wakil Pakatan bangun meninggalkan Dewan. Manakala beberapa Ahli Parlimen BN dilaporkan menyokong ucapan beliau.



Insiden itu bukan kes pertama Ibrahim menzahirkan pertembungan sikap dan pendirian dengan Pakatan. Sudah beberapa kali sebelum itu beliau mengkritik secara terbuka perjuangan parti-parti pembangkang secara amnya dan peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara khususnya.



Tindakan Ibrahim itu bukan sahaja tidak disenangi para pengundi Pasir Mas yang bertanggungjawab memenangkannya, malah mensesiakan pengorbanan PAS yang sanggup membelakangi kehendak ahlinya sendiri di kawasan berkenaan.



Di atas rasa kesal itu, PAS Kelantan meminta Ibrahim secara bermaruah meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen.



“Keputusan itu (minta Ibrahim berundur) bukan daripada (peribadi) YB Takiyuddin, tetapi itu mesej PAS negeri (Kelantan), kerana (Ibrahim) menikam PAS daripada belakang,” Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan.



Nasib nampaknya sedikit menyebelahi Ibrahim apabila kelantangannya terhadap Pakatan disenangi para pemimpin BN. Bukan sahaja ucapannya yang menseranah wakil Pakatan di Dewan disokong wakil BN, kecaman PAS terhadap Ibrahim juga disanggah para pemimpin Umno.



“Jangan salahkan dia (Ibrahim) kerana awal-awal lagi dia tidak memihak kepada sesiapa pun, berkecuali dan tidak memihak kepada PAS,” ulas Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.



Lebih menarik lagi apabila beberapa pemimpin kanan Umno Bahagian Pasir Mas sendiri mengalu-alukan tindakan beliau itu.



“Biar pun Ibrahim bukan ahli Umno dan pernah bersama dalam gerakan PAS, tetapi dalam keadaan sekarang, selaku Ahli Parlimen, beliau memenuhi tanggungjawabnya,” puji Timbalan Ketua Umno bahagian itu, Johan Che Pa.



Ibrahim dilucutkan daripada jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keahliannya seumur hidup daripada parti itu ekoran tindakannya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-11, Mei 2004.



“Kami di Pasir Mas tidak ada masalah untuk menerimanya (Ibrahim) dan berharap kepimpinan parti boleh menerima beliau semula,” rayu Ketua Pemuda Umno Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman.



Reaksi-reaksi tadi meletakkan Ibrahim pada posisi umpama ‘PAS kata pergi, Umno kata mari’.

No comments

Powered by Blogger.