Kerajaan perlu tarik semula kebenaran guna perkataan 'ALLAH'

KEPALA BATAS 28 Feb. — Kerajaan perlu menarik balik keputusan membenarkan penggunaan perkataan ’Allah’ dalam penerbitan agama Kristian kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan tidak bertindak secara bijak apabila membenarkan penggunaan kalimah itu oleh penerbitan Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh membawa kepada tindakan agresif.

Katanya, kerajaan sepatutnya tidak membuat keputusan sedemikian tetapi menyerahkan kepada mana-mana mahkamah yang berkenaan untuk proses rayuan memandangkan perkara itu telah dibawa ke mahkamah oleh pihak penerbitan Herald- The Catholic Weekly.

Kerajaan perlu menanggung risiko kesan daripada keputusan itu iaitu sama ada rakyat bertolak ansur seperti mana yang dilakukan kerajaan atau tidak akan menyokong kerajaan yang ada pada masa akan datang, katanya ketika mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan perkataan “Allah” bukan lagi satu larangan seperti yang terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Perintah tersebut berbunyi: “Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ’Allah’, ’Kaabah’, ’Baitullah’ dan ’Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian”.

“Pada saya, kerajaan telah melakukan satu kesilapan dan yakin umat Islam di negara ini tidak akan menerimanya kerana pengertian Allah itu adalah berdasarkan kepada tauhid yang berbeza antara Islam dan Kristian dan ini boleh mencetuskan golongan Islam yang ekstrim,” kata Nakhaie kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Halal di Dewan Milenium di sini hari ini.

Mohd Nakhaie, yang juga pengerusi Majlis Amal Islamiah Malaysia berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan kebenaran itu juga dilihat tidak menyokong usaha memelihara Islam sebagai agama rasmi negara ini.

— BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.