Keberanian Rakyat Malaysia

Jangan Takut dan gentar kepada semua rakyat Malaysia. Kita semua berada di pihak yang benar dan pejuang kepada perubahan secara total di bumi Malaysia. Amaran demi amaran untuk menakut-nakutkan kebangkitan rakyat merupakan tindakan paling bacul dan penakut. Rakyat bangkit bukan kerana atas emosi atau anti establisment tetapi rakyat bangkit kerana mahukan perubahan secara total ke atas sistem demokrasi di Malaysia

Kita bangkit untuk menyatakan sokongan padu dan taat setia kepada Yang DiPertuan Agong. Malahan kita berhimpun secara aman juga kerana hendak merapat sembah kepada YDPA. Mengapa parti pemerintah harus menghalangnya. Bukankan ini satu penderhakaan kepada YDPA. Apa salah rakyat untuk berjumpa sendiri kepada institusi tertinggi negara. Malahan perhimpunan ini secara jelas bersesuaian dengan kehendak Artikel 10(1b) Perlembagaan Negara yang memberikan kebebasan rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Di pihak rakyat ini merupakan satu-satunya pilihan yang ada untuk menyatakan pendirian secara terbuka. Media massa yang diharap untuk menjadi jurubicara di pihak rakyat dilihat di rantai dengan ketat oleh parti pemerintah. Tidak hairan mengapa indeks kebebasan media Malaysia merudum jatuh. Semangat demokrasi yang sebenarnya di Malaysia telah lama mati dan berkubur. Justeru kebangkitan dan keberanian rakyat amat dituntut untuk melepaskan negara daripada rantai yang telah lama menghantui sistem demokrasi di Malaysia.


Pasca selepas Perhimpunan 100,000 Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur dan beberapa buah bandaraya di seluruh dunia adalah diharapkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya melaksanakan tuntutan yang dikemukakan. Diperingatkan SPR bekerja untuk rakyat Malaysia keseluruhannya bukan hanya menjadi agen pelaksana parti pemerintah yang tidak segan silu untuk merobek hak demokrasi rakyat Malaysia. Hanya melalui perubahan sistem pilihanraya yang lebih adil dan telus maka suasana demokrasi yang sebenar dapat dilaksanakan.

Malahan pilihanraya itu sendiri perlu digantung untuk beberapa ketika bagi membolehkan satu rombakan besar-besaran dilaksanakan. Malahan YDPA mempunyai hak untuk tidak bersetuju jika Perdana Menteri mengumumkan untuk mengadakan pilihanraya pada masa terdekat ini. Campurtangan Majlis Raja-Raja adalah dituntut kerana ini adalah satu-satunya pilihan bagi rakyat untuk perubahan demokrasi di Malaysia.

Kehadiran rakyat Malaysia daripada semua lapisan amat penting kepada survival demokrasi di Malaysia. Kegagalan kita pada hari ini untuk menuntut perubahan secara total demokrasi Malaysia akan menghantui generasi akan datang. Maka kesannya juga akan melahirkan rakyat Malaysia yang tidak lagi peduli kepada bangun dan jatuhnya sesebuah negara. Oleh itu bagaimana boleh diharapkan Malaysia hendak menjadi negara maju pada masa akan datang dan bagaimana generasi akan datang untuk membina sebuah tamadun ummah sejagat.

Kepada gerakan mahasiswa, ini adalah kesempatan terbaik anda untuk belajar bagaimana menggerakkan kebangkitan rakyat. Era kelesuan gerakan mahasiswa juga wajar diganti dengan era baru gerakan mahasiswa yang boleh menjadi jurubicara rakyat yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Penyertaan mahasiswa akan menyemarakkan lagi tuntutan perubahan kepada sistem demokrasi di Malaysia. Mahasiswa juga adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang patut bangkit untuk menyatakan hak dan pendirian.

Salam keamanan ditujukan khas kepada pasukan keselamatan negara khususnya PDRM. Anda adalah benteng keselamatan rakyat Malaysia dalam negara. Perhimpunan 10 November adalah perhimpunan aman rakyat Malaysia. Professionalisme anda akan dihakimi dan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa. Jika ada berlaku tangkapan oleh Polis di pihak rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman imej professionalisme anda akan tercalar teruk. Malahan jika pihak polis berjaya mengawal dengan baik perhimpunan ini imej pasukan polis akan naik serta-merta pada pandangan rakyat yang mana ketika ini keyakinan rakyat terhadap polis jatuh merudum.


Salam persahabatan juga ditujukan khas kepada anggota pasukan tentera udara, darat dan laut. Undi pos yang selama ini menghantui hak kebebasan anda untuk memilih juga wajar dihapuskan. Sokongan padu daripada anggota keselamatan untuk menghapuskan undi pos amat penting agar hak anda sebagai warga keselamatan yang banyak berkorban kepada agama , bangsa dan negara dihargai sepenuhnya. Kebangkitan suara daripada pihak anggota keselamatn juga amat penting demi menjamin sistem demokrasi negara utuh da terjamin.

Salam barakah ditujukan khas kepada semua alim ulama, ustaz dan kiyai. Doa anda semoga semua peserta dan anggota keselamatan dilindungi daripada sebarang bahaya dan anasir-anasir yang merosakkan. Pimpinlah kami rakyat Malaysia semuanya ke jalan yang benar dan doakan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia . Mengambil iktibar apa yang berlaku di Mynmar di mana para sami sanggup menaruhkan nyawa untuk memimpin rakyat ke jalan raya terhadap ketidakadilan junta tentera wajar diperhatikan.



Salam bicara juga kepada semua barisan peguam-peguam di Malaysia. Keberanian anda berarak di Putrajaya telah membuka mata rakyat dan dunia antarabangsa. Malahan keberanian anda sekali lagi dituntut untuk menjadi pembela rakyat Malaysia dan suara demokrasi. Keberanian para peguam di Pakistan berhadapan kerajaan tentera amat mengujakan. Di Malaysia juga keberanian para peguam tidak pernah dipertikaikan malahan dipandang tinggi di mata rakyat Malaysia .


Semoga kedaulatan rakyat Malaysia dapat dikembalikan.

No comments

Powered by Blogger.