Tahniah kepada seluruh Unit Amal yang terlibat
Saya mewakili seluruh anggota Unit Amal Wilayah Persekutuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Unit Amal seluruh Malaysia yang telah sama-sama membantu menjayakan Himpunan 100 ribu rakyat yang dianjurkan oleh BERSIH semalam.
Rata-rata saya dapati, ramai anggota-anggota Unit Amal yang hadir kebanyakannya anak-anak muda yang mungkin masih bersekolah dan ada juga yang telah berumur. Mungkin atas tarbiyyah dan bimbingan yang diberikan oleh pengarah-pengarah negeri saya dapati mereka bersemangat untuk membantu menjayakan himpunan tersebut.Dalam himpunan yang berlangsung semalam, pihak BERSIH telah mengutus surat melalui email bulan lepas kepada Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Ustaz Jamsari Marsom meminta supaya Unit Amal dapat bertugas sebagai keselamatan dalam himpunan 100 ribu rakyat.
Ustaz Jamsari telah meminta pengarah Unit Amal Wilayah Persekutuan , Saripuddin Mohd Yatim mengambil peranan berkenaan tugasan tersebut memandangkan Unit Amal Wilayah Persekutuan merupakan tuan rumah bagi himpunan tersebut. Apa yang perlu dilakukan oleh pengarah Unit Amal Wilayah Persekutuan ialah mendapatkan khidmat bantuan anggota daripada seluruh anggota Unit Amal Malaysia yang ada untuk membantu menjadi petugas keselamatan.
Walaupun pada peringkat awalnya kami dari Unit Amal Wilayah Persekutuan bimbang jika kehadiran Unit Amal seluruh Malaysia yang hadir tidak mencapai sasaran yang diharapkan atau mungkin dihalang oleh pihak polis ternyata kebimbangan kami telah dibuktikan dengan kehadiran anggota yang telah dilaporkan oleh pengarah-pengarah negeri sebelum ini walaupun ada diantara mereka tiba lewat iaitu pada pagi 10 November semalam.
Namun dengan kecekapan pengarah-pengarah negeri menyusun anggota seterusnya menyampaikan taklimat seperti yang telah diberikan oleh kami Unit Amal Wilayah Persekutuan selaku tuan rumah, semua petugas Unit Amal negeri-negeri dapat menerima arahan daripada kami dengan patuhnya. Kami juga berasa kesal dengan tindakan tidak bertamadun pihak polis yang menahan anggota Unit Amal pada himpunan semalam dan menyemburkan gas pemedih mata kepada peserta himpunan juga mengenai pengarah Unit Amal Wilayah Persekutauan, Saripuddin Mohd Yatim ketika berada di Masjid Jamek..
Telah dibuktikan bahawa himpunan tersebut dilaksanakan dengan aman dan tiada provokasi yang dilakukan oleh peserta. Kejadian yang berlaku di Masjid Jamek semalam bukanlah bermula daripada peserta tetapi pihak polislah yang memulakan provokasi tersebut. Ini berikutan pengawasan yang dilakukan oleh anggota Unit Amal telah berjaya mengawal peserta-peserta dari melakukan provokasi.
Walaupun Unit Amal yang ditahan semalam dibebaskan pada pukul 10.00 malam tadi, kami meminta supaya pihak polis tidak mendakwa mereka ini. Akhir sekali, saya mewakili Unit Amal Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dengan komitmen dan kepatuhan yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Unit Amal negeri-negeri yang telah membantu bertungkus-lumus walaupun dalam keadaan cuaca yang hujan lebat.
Mudah-mudahan Allah s.w.t membalas ganjaran kepada semua anggota Unit Amal yang terlibat dengan mengikut setiap titik air hujan yang turun membasahi baju serta seluar anggota Unit Amal sekelian. Sekian, M.S Abu Sahid Setiausaha Unit Amal Wilayah Persekutuan
No comments
Post a Comment