Penipuan daftar pemilih demi Melayu?




Khalid Samad

Semasa isu penipuan daftar pemilih dibawa ke kampung-kampung, kedengaran adanya usaha pihak UMNO mempertahankan amalan ini atas hujjah ianya dilakukan kononnya untuk menjamin kelangsungan pemerintahan dan kuasa politik Melayu.

Hujjah ini jelas satu pembohongan dan merupakan usaha terdesak UMNO untuk kekal berkuasa!

Sebenarnya yang ingin dipertahankan adalah penerusan kekuasaan UMNO dan demi itu mereka sanggup menipu rakyat dengan menggadaikan kedaulatan Negara.
Tindakan penipuan ini, termasuk persoalan menjual kerakyatan demi undi, adalah merupakan satu tindakan khianat yang wajib dikutuk semua pihak.

Sepertimana yang diketahui umum, semua calon-calon UMNO bertanding melawan calon Melayu juga, samada dari PAS atau PKR.

Oleh itu, jumlah kerusi yang akan dipegang oleh wakil rakyat Melayu tidak akan berkurangan. Ianya akan tetap sama.

Yang bezanya ialah yang pernah dipegang oleh Melayu UMNO akan dipegang pula oleh Melayu PAS atau PKR. Oleh itu persoalan kelangsungan pemerintahan dan kuasa politik Melayu tidak timbul.
Soal demi Melayu adalah hanya satu pembohongan sepertimana juga persoalan rasuah diambil demi Melayu! Kalau Melayu tidak ambil rasuah, nanti orang lain ambil!

Persoalannya sekarang ialah jenis pemimpin Melayu yang bagaimana yang ingin disokong oleh masyarakat Melayu di Negara kita ini? Melayu rasuah, perkauman, fitnah dan tidak amanah atau yang sebaliknya?

Sekiranya yang rasuah, perkauman, fitnah dan tidak amanah adalah pilihan hati sekalipun, ianya tidak merupakan hujjah untuk menyokong tindakan penipuan dan pengkhianatan yang sedang dilakukan UMNO dewasa ini berhubung daftar pemilih.

Ada juga yang terus diajar UMNO bahawa penipuan, rasuah, fitanh dan sebagainya adalah kebiasaan dalam alam politik.

Politik sememangnya kotor, kata mereka lagi; dan siapa sahaja yang memimpin, mereka akan buat juga sepertimana UMNO sedang lakukan sekarang. Dalam erti-kata lain, 2x5, 5x2 dan oleh itu tidak perlu membawa perubahan.

Golongan sebegini, yang bercakap kononnya untuk membela nasib orang Melayu dan adalah pejuang Melayu sebenarnya menghina bangsa Melayu dan ingin bangsa sendiri hancur atas sebab akhlak buruk yang dikekalkan.

Mereka beranggapan bahawa bangsa Melayu ini sebagai bangsa yang paling tidak bertamaddun di dunia sehingga tidak mampu membebaskan diri dari amalan-amalan terkutuk seperti rasuah, fitnah, perkauman, salah guna kuasa dan sebagainya.

Masyarakat Melayu perlu melepaskan diri mereka dari fahaman sebegini dan yakin akan kemampuan bangsa untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin yang bersih dari sifat-sifat terkutuk seperti di atas.
Memang benar bahawa tiada yang maksum, tetapi itu bukan alasan untuk terus menyokong pemimpin yang mengkhianati amanah yang diserahkan kepada mereka oleh rakyat.

Kelemahan pasti ada dan setiap kelemahan perlu ditegur dan diperbetulkan, bukan ‘diharuskan’ atas alasan tiada yang maksum!

PAS bersama PR memberikan harapan baru kepada masyarakat Melayu. Bersama kita menawarkan saff pimpinan Melayu yang bersih dari rasuah dan sifat-sifat terkutuk seperti yang disebutkan.

Pada masa yang sama sesiapa yang terbukti bersalah melakukan rasuah dan penyelewengan akan dikenakan tindakan dan ditolak.

Hanya yang tidak yakin akan kemampuan bangsa untuk menghasilkan kepimpinan bersih dan berakhlak akan menolak tawaran PAS dan PR.

Sambil yang yakin dengan kemampuan bangsa, berdasarkan ajaran Islam, akan menyokong dan menerima PAS dan PR. Pilihan ditangan anda.

WaLlahu 'Alam
----------------------------------------------------
Penulis adalah anggota Parlimen Shah Alam yang juga AJK PAS Pusat.

No comments

Powered by Blogger.