Bersih 3.0 tetap di Dataran Merdeka - Ambiga

Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR, 26 April: Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah tetap diadakan di Dataran Merdeka esok walaupun mahkamah mengeluarkan perintah supaya orang ramai tidak memasuki kawasan itu.

Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga berkata, penganjur berjanji tidak akan melanggar peraturan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

"Tidak ada apa-apa perubahan. Walaupun tidak dapat masuk Dataran Merdeka, kita akan berada berhampiran kawasan itu," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, hari ini.

Beliau mengulas respon kepada perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang menghalang penganjur Bersih 3.0 dan orang awam daripada berhimpun dan memasuki Dataran Merdeka esok.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu secara ex-parte terhadap Bersih 3.0 dan diterima Ambiga kira-kira jam 12.00 tengahari tadi.

Menurut beliau, penganjur menetapkan enam lokasi untuk berkumpul iaitu Masjid Negara, KLCC, Jalan Sultan, Pasar Seni, Jalan Brickfields dan Dataran Gajah (Brickfields) sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Beliau berkata, perhimpunan itu akan bermula jam 2.00 petang dan akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.

Beliau menegaskan, Bersih 3.0 merupakan perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Penganjur akan menyediakan pasukan keselamatan dan pasukan perubatan bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar," katanya.

No comments

Powered by Blogger.