Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman penjara setahun terhadap bekas imam

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2012/03/hoslan-husin.jpg

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara setahun terhadap bekas imam Hoslan Husin, yang didapati bersalah menghina mahkamah dengan membaling kasut ke arah panel Hakim Mahkamah Persekutuan.

Panel lima hakim, yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara menolak permohonan Hoslan untuk mendapatkan semakan semula keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara satu tahun.

Hakim Malanjum berkata permohonan Hoslan untuk mendapatkan semakan semula itu dibuat mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 yang menetapkan syarat daripada segi undang-undang bahawa Hoslan perlu melepasi batasan yang menunjukkan bahawa wujud isu ketidakadilan, sebelum semakan semula yang dipohonnya boleh diluluskan.

"Tetapi, batasan itu tidak dilepasi. Tidak wujud halangan daripada segi undang-undang yang dilanggari panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini," katanya ketika menolak hujah peguam Tommy Thomas yang mewakili Badan Peguam Malaysia bahawa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dibaling dengan kasut oleh Hoslan, bukan panel yang sepatutnya mendengar kes menghina mahkamah itu.

Empat hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.

Selepas keputusan itu diumumkan, bekas imam berusia 46 tahun itu, yang digari dan memakai pakaian penjara berwarna oren, kelihatan mengalirkan air mata ketika memeluk anggota keluarganya.

Hoslan memfailkan permohonan bagi semakan semula kehakiman atas hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadapnya kerana menghina mahkamah dengan membaling kasut ke arah panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pada 22 Feb tahun ini selepas panel itu menolak permohonannya untuk mengemukakan rayuan dalam satu kes sivil.

Hoslan hadir di mahkamah pada hari berkenaan untuk mencabar perintah agar dia keluar daripada kawasan Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan kerana masalah disiplin.

Hoslan menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 8 Mac.

Terdahulu, dalam hujahnya, peguam bela Karpal Singh berkata kes Hoslan merupakan kes istimewa dan luar biasa bagi Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasanya untuk membuat semakan semula kehakiman kerana anak guamnya tidak mempunyai saluran lain untuk merayu.

Karpal Singh berkata Mahkamah Persekutuan bertindak betul apabila menjatuhi hukuman penjara satu tahun terhadap Hoslan kerana memang tiada keraguan bahawa apa yang dilakukannya adalah perbuatan menghina mahkamah peringkat serius, tetapi Mahkamah Persekutuan itu sepatutnya mengeluarkan perintah bahawa hukuman yang telah dilaluinya iaitu penjara satu bulan lapan hari sudah memenuhi tuntutan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin pula berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak bertindak melebihi bidang kuasanya apabila ia menjatuhi hukuman penjara setahun terhadap Hoslan dan mahkamah itu tidak mempunyai had dalam menjatuhi hukuman.

Beliau berkata tindakan Mahkamah Persekutuan melaksanakan kuasanya berhubung semakan semula kehakiman perlu dilihat dalam hubungan wujudnya kes ketidakadilan yang ketara atau penyalahgunaan proses mahkamah secara nyata. "Kami katakan perkara itu tidak berlaku di sini.

"Tidak wujud keadaan luar biasa, tidak berlaku ketidakadilan dan penyalahgunaan proses mahkamah," kata Noorin.

Terdahulu, Thomas menyatakan kepada panel hakim berkenaan bahawa walaupun Badan Peguam Malaysia mengutuk tindakan Hoslan membaling kasut ke arah para hakim, badan itu berpendirian bahawa hukuman penjara satu tahun adalah keterlaluan dan tidak munasabah.

Katanya kes ini merupakan kes yang sesuai bagi mahkamah itu mempamerkan sifat belas ihsannya kerana faktor rayuan Hoslan telah tidak diambil kira. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.