Hisham harus tarik balik kenyataan kurang sensitif

Lim Guan Eng | 3:11PM Jul 2 2012

ULASAN Pencerobohan kediaman bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di Kuala Lumpur mengesahkan kebimbangan tentang situasi keselamatan awam yang makin merosot di Malaysia dan bercanggah dengan jaminan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn bahawa satu atau dua insiden jenayah ganas tidak membuktikan peningkatan jenayah di Malaysia.
Kediaman Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik telah dilaporkan diceroboh oleh pencuri yang telah melarikan wang tunai serta sepucuk pistol.

Kehilangan pistol kepada penjenayah membawa implikasi yang sangat
besar terhadap keselamatan awam. Sekiranya orang kenamaan pun tidak selamat, bagaimanakah rakyat boleh selamat?

Sikap Datuk Seri Hishamuddin yang tidak mengambil endah dengan laporan-laporan jenayah dalam media jelas tidak bertanggungjawab dan menunjukkan bahawa beliau tidak sensitif bukan sahaja kepada penderitaan mangsa tetapi juga kepada kebimbangan awam.

Sikap Hishamuddin yang bergantung semata-mata kepada perangkaan adalah sikap yang malas dan salah kerana beliau harus memahami bahawa fakta dan angka tidak mempunyai dimensi insaniah tentang kerugian dan kecederaan yang terpaksa dialami mangsa.

Dalam erti kata lain, walaupun fakta dan angka mungkin menunjukkan bahawa indeks jenayah telah menurun, yang lagi pentingnya adalah sama ada rakyat berasa selamat. Kata-kata Hishamuddin yang menguar-uarkan penurunan indeks jenayah tidak akan membuatkan wanita berasa selamat di Lembah Kelang semasa memasuki tempat letak kereta.

Hishamuddin harus menarik balik kenyataannya yang kurang sensitif dan memberi perhatian terhadap situasi jenayah yang makin teruk sebelum ia menjadi krisis yang besar. Jangan lupa bahawa ahli jawatankuasa pemandu Bersih Dr Wong Chin Huat telah diserang dan dicederakan semasa berjoging, sementara seorang cikgu Teoh Soo Kim, 51, telah cedera parah dan sedang berjuang untuk hidup selepas diculik.

Seorang kanak-kanak 12 tahun di Ipoh dan seorang yang berumur 20-an di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pula hampir diculik dalam bulan yang lepas. Kejadian-kejadian ini adalah ekoran daripada penculikan berprofil tinggi seorang kanak-kanak 12 tahun berbangsa Belanda Nayati Moodliar, yang telah mendapat liputan media antarabangsa.

Pihak polis seharusnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab dasar mereka iaitu menangani jenayah dan bukannya mengikut perintah politik untuk menangani para penunjuk perasaan yang membantah secara aman atau pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. DAP menyeru agar kerajaan Persekutuan melabur dana dalam keselamatan awam melalui teknologi seperti CCTV, menyokong pemantauan masyarakat melalui pasukan peronda sukarela serta menempatkan pegawai polis di kawasan-kawasan “hotspot” jenayah.

LIM GUAN ENG adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dan setiausaha agung DAP.

No comments

Powered by Blogger.