Kejayaan buat semua kartunis - Zunar


Jul 31 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Aisha Geoffrey)

KUALA LUMPUR 31 Julai: Zunar menyifatkan kemenangannya dalam kes saman menentang kerajaan adalah kejayaan buat semua kartunis di Malaysia dan Kumpulan Kartunis Independent (KKI) khasnya.

Berikutan keputusan itu, beliau berharap, tiada lagi penindasan terhadap kartunis pada era pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak.

"Sebenarnya, pada era pemerintahan Najib ini, kartunis banyak ditekan dan ia tak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya harap dengan keputusan mahkamah tak akan berlaku lagi tindakan seperti yang terjadi pada saya selepas ini," katanya ketika ditemui selepas itu.

"Najib pernah kata akan menggubal Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 yang turut digunakan untuk merampas karya saya, jadi saya harap Perdana Menteri akan tunaikan janji itu, jangan berterusan jadi demokrat palsu," kata Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.

"Justeru saya harap kerajaan akan patuh dan ikut keputusan mahkamah, pulangkan kesemua koleksi kartun saya secepat mungkin," katanya.

Zunar memfailkan saman sivil itu pada 15 Jun tahun lalu terhadap polis dan empat defendan lain termasuk kerajaan Malaysia.

Ia dibuat ekoran penangkapan tidak sah terhadap beliau dan rampasan 66 naskah Cartoon-O-Phobia serta karya seninya pada 24 September 2010. Beliau turut ditahan di bawah Akta Hasutan.

Dalam saman tersebut, beliau menuntut ganti rugi, perintah supaya buku-buku yang dirampas dikembalikan kepadanya dan perintah supaya lukisan kartun dikembalikan.

Zunar memfailkan saman itu melalui Tetuan Daim & Gamany dan diwakili peguam N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri.

Dalam keputusannya pagi tadi, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi dan memulangkan semula buku-buku Zunar yang dirampas secepat mungkin.

Jumlah ganti rugi akan dinilai oleh pendaftar mahkamah.

No comments

Powered by Blogger.