Tahniah! Mujahid kini bergelar Datuk
Mujahid
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof antara 1,138 yang tersenarai sebagai penerima anugerah kebesaran sempena hari jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang,Tuan Yang Terutama Datuk Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman bin Haji Abbas.
Mujahid dianugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.
Mujahid yang kini merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dipilih menerima gelaran itu atas sumbangannya di peringkat antarabangsa seperti mewakili Malaysia ke Parlimen OIC serta mengetuai rombongan Sekretarian Muslim ASEAN (AMSEC) ke Afrika Selatan pada tahun 2001.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR merangkap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kasim turut dianugerah Pingat Jasa Masyarakat (PJM) yang membawa gelaran Datuk.
Difahamkan, tiada pemimpin DAP menerima anugerah kebesaran pada majlis penuh istiadat selama empat hari di Dewan Sri Pinang, George Town mulai hari ini.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mendahului senarai penerima anugerah kebesaran dengan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Tiga yang lain menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala lapan orang menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.
Lima orang dianugerah Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, 64 orang menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 33 Bintang Cemerlang Negeri (BCN); 179 Pingat Kelakuan Terpuji (PKT); 341 Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 333 Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan 114 orang Pingat Bakti Setia (PBS).
No comments
Post a Comment