Sejarah tercipta di Stadium Sultan Muhammad IV
15 Julai 2012 - Satu sejarah telah tercipta malam tadi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Kelantan menjulang trofi kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut setelah mereka turut menjuarai kejohanan sama pada musim yang lalu. Namun begitu, ini kali pertama mereka menerima trofi di gelanggang keramat mereka ini setelah menerima trofi Liga Super di Wisma FAM pada musim yang lalu.
Ini merupakan kali kedua pasukan Kelantan muncul juara liga dalam sejarah mereka. Sejak format liga berstatus profesional yang diperkenalkan pada tahun 1994, Kelantan muncul pasukan ketiga yang muncul juara liga berturut-turut setelah ianya dilakukan pasukan Selangor dan Kedah sebelum ini.
Ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi menjadi insan paling istimewa apabila beliau muncul pemain Kelantan pertama yang menjulang trofi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Trofi disampaikan Yang Berhormat Mulia Dato' Tengku Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Panglima Raja kepada Badri Radzi.
Kelantan kini melalui zaman kegemilangan mereka. Sebelum ini, pasukan Kelantan juga pernah ditimpa zaman kegelapan sehingga memaksa mereka beraksi pada saingan Liga FAM. Kelantan kini melalui 4 tahun yang cemerlang setelah berjaya merangkul berbagai trofi.
Ini merupakan trofi kelima pasukan Kelantan dalam tempoh empat tahun mereka kembali ke saingan Liga Super pada musim 2009. Trofi Liga Super juga merupakan trofi kedua mereka musim ini setelah turut berjaya menjuarai Piala FA setelah menewaskan pasukan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa bulan lalu. Walaubagaimanapun, Kelantan gagal untuk menewaskan pasukan Negeri Sembilan dan terlepas Piala Sumbangsih pada awal musim lalu. Kelantan juga kini telah berada di peringkat suku akhir Piala AFC dan bakal turun untuk menjulang trofi piala Malaysia yang bakal bermula september nanti.
Masa depan pasukan Kelantan kelihatan amat cerah. Mereka memiliki satu pasukan yang amat mantap dan mampu untuk bersaing dengan mana-mana pasukan di peringkat tempatan dan juga Asia. Pihak pengurusan, para pemain, staff sokongan dan juga penonton nyata memberi semangat untuk pasukan The Red Warriors itu bersaing untuk perlawanan seterusnya.
foto : muizzuddin yahaya
No comments
Post a Comment