Anwar pertimbang ambil tindakan ke atas Hassan Ali



(Oleh Aisha Geoffrey)

KUALA LUMPUR 21 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim pertimbang mengambil tindakan lanjut terhadap Presiden Jati, Datuk Dr Hassan Ali ekoran kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum KEADILAN itu dalam Utusan Melayu.

“Kita akan fikir apa tindakan wajar perlu diambil terhadap Hassan Ali. Saya akan bincang dengan peguam,” kata Anwar ketika ditemui selepas penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau mengulas kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarang, Datuk Abdul Aziz Ishak pagi tadi.

“Alhamdulilah, saya bersyukur atas keputusan itu yang membuktikan ada fitnah jahat terus menerus oleh Utusan,” katanya.

“Yang penting, keterangan terperinci oleh hakim yang mempertahankan kebebasan badan kehakiman. Dia (hakim) tahu kes ini melibatkan Umno. Dia juga tahu wakil Presiden Umno duduk dalam pengurusan Utusan,” jelas Anwar.

Anwar menyokong ketegasan Hakim Datuk VT Singham yang mempertahan kebebasan media tetapi perlu mengikut etika kewartawanan dan profesionalisme.

“Kebebasan media itu perlu tetapi bukan kebebasan menyebarkan fitnah. Dalam kes ini Utusan berulang kali dan paling tidak bertanggunjawab memfitnah saya kononnya saya menyokong homoseksualiti, mengikut pandangan Hassan Ali yang bertopengkan agama tapi bila ditanya tidak ada asas,” tegasnya.

“Sekali lagi saya bersyukur, berlaku satu lagi episod penegasan bahawa media Umno di bawah pengurusan Datuk Seri Najib Razak terus meningkat fitnah menjelang pilihan raya,” kata Anwar lagi.

Dalam laporan muka depan bertajuk “Tolak Anwar – Hasan” mengatakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu membidas Anwar kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini.

Isu ini berbangkit selepas Mingguan Malaysia, edisi mingguan Utusan Malaysia memfitnah Anwar semasa temubual bersama BBC, mengatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertikai undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini.

Peguam mewakili Anwar, N Surendran turut memuji ketegasan hakim yang menyatakan dua elemen penting dalam kes tersebut.

“Kebebasan media dan badan kehakiman yang dinyatakan hakim dalam kes ini adalah satu penghakiman yang sangat penting, ‘rare’ dan mudah sebenarnya. Itulah perkara asas dalam menjayakan sesebuah demokrasi,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Utusan diarah membayar gantirugi kos sebanyak RM45,000 kepada Anwar. Pampasan pula akan ditentukan 15 Februari ini ekoran penyiaraan artikel bersifat fitnah pada 17 Januari 2012 itu bertujuan menjatuhkan reputasi Anwar.

No comments

Powered by Blogger.