Tragedi 13 Mei: KEADILAN mahu SPR tarik balik ugutan ke atas rakyat



(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 29 Jan: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof digesa menarik balik kenyataan meminta rakyat tidak meraikan dan membantah di jalan raya selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, tindakan Abdul Aziz itu tidak profesional dan sengaja mahu mengugut rakyat dengan kuasa yang ada padanya.

“Tidak wajar SPR buat kenyataan seperti itu. Langsung tidak profesional. Malah beliau seperti mengulangi hujah Umno yang mengatakan demonstrasi boleh mengakibatkan tragedi 13 Mei.

“Kalau Abdul Aziz rasa bertanggungjawab, beliau mesti tarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada rakyat kerana memberikan gambaran buruk kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan SPR cuba mengaitkan tragedi 13 Mei dengan keputusan pilihan raya.

“Kenapa nak ugut orang awam? Kita ada undang-undang. Mengapa SPR nak ungkit tragedi 13 Mei untuk takutkan rakyat,” soal Tian.

“Sebetulnya jika SPR ini bebas, dia (Abdul Aziz) mesti minta rakyat turun menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberi jaminan pilihan raya diadakan telus. Tapi kenapa nak diungkit 13 Mei pula,” ujar Ahli Parlimen Batu itu.

Abdul Aziz juga dilaporkan meminta pihak yang menang juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.

Menurutnya, lima kerajaan negeri bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan kononnya kebebasan SPR.

“Ini seperti SPR akan lakukan penipuan. Mana dia jaminan SPR untuk pastikan tiada penipuan dalam pilihan raya? Kerja SPR sepatutnya tolong pastikan pilihan raya berjalan telus dan bersih, bukan jadi alat politik kerajaan,” tempelak Tian.

2 comments

Mad Riz said...

Mari-mari beli minyak banyak bagus wooo!! Di sini Gila-gilalah

IbnAbdHalim said...

Awal-awal lagi SPR dah beritahu kita bahawa mereka akan menipu dalam pilihanraya.

Powered by Blogger.