BN Mau Selamatkan Selangor, Selamat Dari Apa ?

BBB, 27 Jamadil Awwal 1434 = 08 April 2013 (Isnin):

Agenda menawan kembali Selangor dari Pakatan Rakyat menjadi agenda penting bagi BN, kononnya bagi menyelamatkan Selangor – Tapi menyelamatkan dari apa ? Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Dato` Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Selangor dalam rangka misi menyelamat yang tidak jelas apa yang mau diselamatkan. Apa yang jelas Selangor yang kaya itu, miskin dari kepimpinan BN sehingga Dato` Seri Najib terpaksa mengambil tugas Pengarah Barisan Nasional Selangor bagi mendepani kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Ada pemimpin peringkat negeri seperti Dato` Seri Mohd Zin Mohamad, Dato` Seri Noh Omar, Khir Toyo dan Dato` Mohamad Satim bin Diman tetapi tidak diberi kepercayaan menerajui kepimpinan Barisan Nasional di Selangor. Mungkin dianggap tidak layak atau ada krisis pimpinan – elak dari perebutan.

Kelemahan pimpinan pembangkang (BN) ketara dapat dilihat di dalam Dewan Negari Selangor 2008-2013 dalam mana 22 Adun daripada mereka tidak dapat menandingi kewibawaan kepimpinan Pakatan. Di dalam sidang-sidang yang berlangsung, kehadiran mereka hanya ramai pada sesi pagi dan berkurang pada sesi petang dan ramai dari mereka tidak hadir. Ketua mereka seperti Dato` Mohamad Satim lebih bergantung ucapan pada teks yang disediakan dan bermasalah tanpa penyediaan teks. Pendek kata peranan utama Ahli Dewan di Dewan Negeri dari pihak pembangkang (BN) tidak seimbang dengan ahli-ahli Dewan Pakatan. Perjalanan Dewan Negeri Selangor adalah antara Dewan terbaik berbanding dengan Dewan-Dewan Negeri yang lain. Penulis pernah melalui pengalaman di bawah BN pada sesi (1999-2004) dan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Pada masa Dewan di bawah BN, sidang biasanya pendek yang memakan masa beberapa hari, tetapi semasa di bawah Pakatan sidang biasanya lebih dari seminggu, bahkan sampai 10 hari bagi satu-satu sidang, bahkan sering ditambah waktu sebelah petang. Pada masa BN pernah sidang berlangsung hanya satu hari sahaja. Peluang berucap amat terhad antara lima hingga sepuluh minit sahaja, kecuali Ketua whip, tetapi semasa Kerajaan Pakatan Rakyat, peluang bagi ketua whip boleh sampai berjam-jam, manakala pengucap biasa kebiasaannya 20 minit. Tempoh menjawab soalan lisan juga dipanjangkan sehingga satu setengah jam, dengan demikian banyak soalan yang dapat dijawab.

Bagi Dewan Negeri ada ditubuhkan jawatan-jawatankuasa yang keahliannya terdiri dari ahli-ahli Dewan seperti jawatankuasa SELCAT (Special Select Committee On Competence, Accountability And Tranparency), Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC), Jawatakuasa Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JPK- ABAS), Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JPK-PADAT). Jawatankuasa-Jawatankuasa ini berjalan dengan baik dan lancar. SELCAT umpamanya sebagai Badan yang digeruni, terutama bagi mereka yang terlibat dan dijemput kepada Majlis Pendengaran. Pada masa Kerajaan BN, walaupun AJK-AJK sedemikian ada tapi tidak dimanfaatkan penggunaannya. Jadi apakah yang nak diselamatkan ?

Pada sesi Dewan Undangan Negeri 2008-2013 pentadbiran peringkat Pejabat Daerah dan PBT berjalan dengan baik dan teratur. Bajet tahunan yang dibawa sentiasa meningkat dari RM1.4 billion dari 2008 meningkat kepada hampir RM1.7 bilion pada 2013. Satu perkara yang perlu disebutkan ialah kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat mengagihkan tanah-tanah kepada penghuni tanah-tanah yang lebih dari 30 puluh tahun mereka duduki, pada zaman kerajaan BN dijadikan janji pilihanraya kepada penghuni-penghuni, tapi sebenarnya tidak diberi, tetapi pada zaman Pakatan Rakyat lebih dari 6.000 lot tanah demikian diberi pemilikan. Dari segi PBT pula pada zaman Pakatan Rakyat usaha memecahkan monopoli Alam Flora dapat dilakukan dan mengagihkan kontrek kepada syarikat-syarikat tempatan. Walaupun usaha ini menyebabkan pada peringkat permulaan berlaku kekecohan, tetapi akhirnya dapat diselesaikan dan pihak PBT dapat menyelamatkan perbelanjaan.

Dari segi pentadbiran perbadanan, barangkali isu yang paling hangat berhubung dengan usaha Kerajaan Pakatan untuk mengambilalih pentadbiran air terutama dari Syabas bagi memiliknegerikan. Kerajaan negeri sanggup membelinya sehingga seharga RM 9.65 bilion. Persoalan ini masih dalam rundingan, walaumacam mana komitmen Kerajaan Pakatan Rakyat berhubung dengan isu air ini amat jelas dari pemberian air percuma bagi penggunaan di bawah 20 kubik meter dan terus berusaha untuk memiliknegerikan bagi kepentingan rakyat. Agensi yang lain ialah pihak PKNS yang terus membina rumah bagi keselesaan penduduk termasuklah rumah mampu milik dan rumah murah. Dapat juga disebut kejayaan Pakatan Rakyat mendapat balik hutang dari Talam sebanyak RM300 juta ringgit yang dapat digunakan bagi kepentingan rakyat.

Perkara yang penting ialah peranan Pengerusi Jawatankuasa Tetap pelaburan, perindustrian dan Perdagangan yang dapat melonjakkan negeri Selangor menjadi negeri yang paling tinggi mendapat pelaburan dalam dan luar Negara berjumlah RM48 bilion mengatasi negeri kedua tertinggi, iaitu Sarawak dengan RM40 bilion, Peranan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan pengurusan Bangunan dan Setinggan yang dapat mendirikan rumah-rumah mampu milik, memulih bangunan terbengkalai, Pengerusi Jawatankuasa Pemodanan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan yang memodankan Pertanian menjadi sumber perusahaan, Pengerusi Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan inovasi yang paling banyak menyediakan berbagai skim dan kemudahan bagi rakyat seperti Skim Usia Emas, TAWAS, Tuisyen Rakyat Percuma, Skim Mikro Kredit dan berbagai lagi, Pengerusi JK Pendidikan yang mengeluarkan peruntukan pendidikan selama 5 tahun bagi kemajuan:

1) Pendidikan Sekolah Rakyat RM70.4 juta
2) Hadiah Pengajian Tinggi RM32.1 juta
3) Pinjaman Pelajaran RM38.3 juta

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin banyak memberi tumpuan kepada masyarakat miskin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu dan Belia dan Sukan yang menghidup dan mengekalkan warisan dan menggerakkan berbagai kegiatan Belia, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang banyak menjaga kebajikan penduduk di Bandar dan taman-taman perumahan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan , Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar yang memajukan Pelancongan dan banyak memberi kesedaran dari segi kepenggunaan dan kesedaran dari segi Alam Sekitar dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baharu dan Penyelesaian Kilang Haram yang banyak memberi perhatian terhadap Kampung Baru dan kebajikan mereka dan menyelesaikan banyak masalah kilang haram. Jawatankuasa-Jawatankuasa Tetap yang terdiri dari sepuluh Exco ini dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dengan penuh cekap hingga membawa Selangor menjadi sebuah negeri yang paling maju di Malaysia.

Dari segi keagamaan semua agama mendapat layanan yang adil dari kerajaan negeri. Sebagai catatan bahawa di bawah Pakatan Rakyat berlaku pertambahan masjid dan surau dan yang paling penting berlaku lonjakan dari segi memakmurkan surau dan masjid secara menyeluruh di negeri Selangor sebagaimana melonjaknya minat ibu bapa dan anak-anak terhadap pengajian agama dan akademik yang pusat-pusat pengajian berkenaan berada di Selangor, Ini menambahkan kekukuhan bagi negeri Selangor sebagai negeri maju dan juga menjadi Hub Ilmu. Perkembangan negeri Selangor yang melibatkan semua kaum tidak menggugat dan melemahkan kaum yang lain. Adalah salah dan satu tuduhan liar bila BN menuduh bahawa Karajaan Pakatan melemah dan menghakiskan kedudukan orang Melayu. BN tidak seharus membawa ciri perkauman yang ada di dalam BN ke dalam Pakatan Rakyat melihat dan menilai sesuatu dengan mata dan neraca perkauman yang menjadi budaya BN.

Dengan contoh-contoh yang dibawa diatas adalah merupakan sebahagian dari kemajuan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, Apakah sebenarnya yang mau diselamatkan oleh BN terhadap Selangor ? Yang nyata Selangorlah yang membantu menyelamatkan Malaysia dengan sumbangan hampir suku (23%) pendapatan kerajaan Persekutuan adalah merupakan sumbangan dari negeri Selangor. Jadi apa yang dimaksudkan dengan menyelamatkan sebenarnya ialah menyelamat dan memulihkan Kerajaan BN yang selama ini merasa tempang, kerana kehilangan Selangor. Tetapi bagi rakyat, jika Selangor jelas membawa pembangunan dan kebaikan mengatasi apa yang pernah dibawa oleh BN, seharusnya meningkatkan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat agar lebih banyak lagi kemajuan akan dapat dibawa.

Sekian.

http://drshafie.blogspot.com/2013/04/bn-mau-selamatkan-selangor-selamat-dari_9.html

No comments

Powered by Blogger.