Sekat Ahli Parlimen Pakatan, BN salah guna kuasa – Tian Chua



(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 8 APRIL: Menyekat ahli politik berlainan parti berkempen merupakan penyalahgunaan kuasa, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Ahli Parlimen Batu itu mengulas tindakan menghalang beliau daripada masuk ke Sabah oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.

Beliau yang tiba di Kota Kinabalu pada jam 11.05 pagi itu kemudiannya terus dinaikkan pesawat sama untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur tanpa sebarang sebab.

Turut bersama Tian yang dijadual ke ceramah Pakatan Rakyat di negeri itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

Tian“Setelah mendarat, saya dibawa ke pejabat Imigresen dan disekat dari memasuki Sabah menurut Subseksyen 66 Akta Imigresen. Ia adalah arahan dari kerajaan negeri dan saya langsung tidak diberi alasan atas tindakan tersebut,” kata Tian pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Seksyen 66 Akta Imigresen memperuntukkan setiap individu perlu memperolehi permit atau pas untuk memasuki Timur Sabah iaitu Sabah dan Sarawak melainkan seseorang itu rakyat negeri tersebut, atau Ahli Parlimen, atau merupakan hakim Mahkamah Persekutuan atau penjawat awam.

“Sebagai ahli politik dan pimpinan KEADILAN, kita hormati hak kerajaan Sabah di bawah Seksyen 66. Namun sebagai Ahli Parlimen, peruntukan itu tidak boleh menghalang saya dari memasuki Timur Malaysia,” kata Tian.

“Apatahlagi kini Parlimen sudah dibubarkan dan kita memasuki tempoh kempen. Semua parti berhak untuk sampaikan mesej ke seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sabah kini merupakan kerajaan sementara dan menyekat kemasukan ahli politik atau aktivis dari pihak lawan merupakan penyalahgunaan kuasa.

“Berapa ramai lagi ahli politik dari Semenanjung yang akan dihalang hanya kerana pimpinan kerajaan negeri berasa tidak senang hati? Dengan sekatan itu mungkinkah pilihan raya akan bersih dan adil?” tegasnya.

Justeru, Tian mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan pendirian berhubung penyalahgunaan kuasa tersebut.

“SPR perlu jelaskan pendirian sama ada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak masih ada hak untuk halang dan sekat ketelusan proses pilihan raya dalam tempoh berkempen ini,” katanya. – NS

No comments

Powered by Blogger.