TPP: Kerajaan tidak dedah, hormat perjanjian


Wartawan Sinar Harian


SHAH ALAM - Tindakan kerajaan tidak mendedahkan mengenai kandungan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang disertai Malaysia dan 10 negara lain kerana menghormati persefahaman yang terjalin antara negara luar.

Menurut pakar ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin, tindakan kerajaan merahsiakan kandungan perjanjian itu mungkin bagi tempoh tertentu sahaja.

“Secara taktikal strateginya sama, kalau sesuatu perkara itu didedahkan mungkin menjejaskan pihak lain.

“Ada perkara yang perlu disimpan tanpa didedahkan kepada umum, begitu juga halnya dengan perjanjian ini terutamanya melibatkan hal antarabangsa,” katanya.

Kata beliau kebanyakan perkara ada perlunya dirahsiakan kerana termaktub di dalam perjanjian, sekiranya gagal pasti akan dikenakan tindakan.

“Kita harus simpan, jangan jadi benda awam untuk penerimaan bagi perkongsian strategi, contohnya Petronas, mungkin klausa laksana tugas hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu,” ujarnya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan kandungan TPP yang disertai Malaysia dan 10 negara lain sekiranya perjanjian itu tidak menjejaskan hak rakyat.

Beliau berkata, masih ramai orang awam dan pihak swasta tidak mengetahui hala tuju rundingan tersebut yang sudah memasuki pusingan ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013

Selain itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dilaporkan turut membidas sikap tidak prihatin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kerana gagal memberi maklumat mengenai TPP dalam pertemuan kedua-dua pihak.

Miti adalah wakil perunding bagi Malaysia dalam rundingan TPP yang turut disertai AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

MTEM turut mendesak kerajaan menarik diri daripada rundingan itu yang dikhuatiri memberi impak negatif kepada ekonomi, sosial dan kedaulatan negara termasuk mengubah dasar industri kecil dan sederhana dan harta intelek serta meningkatkan kos perubatan.

Miti dalam kenyataan balasnya memaklumkan butiran perjanjian itu tidak didedahkan kepada umum kerana negara terlibat terikat dengan perjanjian kerahsiaan.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin usaha yang dibuat kerajaan pastinya untuk kebaikan ekonomi.

“Saya yakin kerajaan lakukan demi ekonomi dan kebaikan negara, tidak perlu dipersoalkan. Kalau mendatangkan keburukan pastinya tidak diteruskan dalam perjanjian itu,” katanya.

1 comment

sizzly7761 said...

"Saya yakin kerajaan buat ini untuk kebaikan..." Statement hampeh macam ni bukan satu akujanji yang boleh diterimapakai oleh rakyat! Rakyat dan semua pihak yang terkesan dengan TPP ni wajib risau memandangkan pengalaman dan kes yang lepas menyaksikan negara asyik 'kena kencing' dalam rundingan dan perjanjian dek kerana 'negotiator' kureng cerdik!. Lihatlah perjanjian air dengan Singapore, isu Pulau Batu Putih, Pekerja Indon dan lain-lain!

Powered by Blogger.