Harga Petrol Naik Tanpa Disedari?

Sebahagian kawasan di Miri menghadapi masalah kekurangan bekalan Petrol RON95. Akibat dari kehabisan bekalan stok RON95, pengguna terpaksa menggunakan RON97 sebagai ganti dan terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal RM2.80. Sepatutnya masalah kehabisan stok bekalan untuk RON95 tidak berlaku begitu lama sehingga lebih dari 3 hari. Kita dapati sudah masuk 3 hari kini (02.10.2013) salah sebuah stesen minyak di Luak Miri kehabisan bekalan RON95 dengan alasan stok sudah habis.

Sekiranya ini berlaku di semua stesen minyak di seluruh negara, secara tidak langsung pengguna terpaksa membayar petrol dengan harga yang lebih mahal. Ini menandakan harga petrol sudah naik walaupun pihak kementerian mengatakan harga petrol tidak naik tetapi apabila pengguna terpaksa menggunakan RON97 secara tidak langsung mereka terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan petrol untuk kegunaan harian .

Kita mengesa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyiasat perkara ini, bagaimana bekalan RON95 boleh habis. Kalau alasan RON95 kena seludup ke luar negara rasanya tidak patut berlaku sebab harga petrol di negara jiran yang bersempadan dengan Miri lebih murah dibandingkan dengan harga petrol di Malaysia.

Adakah berlaku penyeludupan di laut atau di darat sehingga bekalan tidak sampai ke sasaran?

Begitu juga dengan diesel juga menghadapi masalah yang sama. Mungkinkah ada pihak tertentu telah menyalahgunakan subsidi petrol ini untuk kepentingan pihak tertentu? Adakah pihak tertentu yang mengambil kesempatan menggunakan RON95 dan disel ini untuk kepentingan sesuatu projek yang sedang rancak berlaku di kawasan luar bandar. Kalau di pedalaman Sarawak harga petrol memang lebih mahal kalau dibandingkan dengan harga dalam bandar. Pihak kementerian yang berkenaan perlu menyiasat perkara ini dengan mengambil tindakan tegas keatas mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Disebabkan oleh kenaikan harga petrol menyebabkan kehidupan rakyat menjadi lebih sukar dan secara tidak langsung harga barangan keperluan juga naik. Sepatutnya pihak kerajaan memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah ini secara yang lebih berkesan agar rakyat tidak dibebani dengan masalah kos kehidupan yang melampau.

Mungkin salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memberi kad subsidi kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan mengenakan harga yang berlainan kepada kenderaan mewah yang menggunakan CC kuasa tinggi dengan mengikut harga pasaran. Kebanyakan mereka yang mampu membeli kenderaan mewah adalah golongan kaya dan tidak memerlukan subsidi kerajaan jadi dengan cara ini pihak kerajaan dapat mengurangkan subsidi kepada golongan kaya dan mewah.

Harap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera agar rakyat tidak terus menanggung bebanan membeli petrol dengan harga yang mahal. Kerjasama dan tindakan dari pihak yang berkenaan sangat dihargai.

Jofri Jaraiee

1 comment

zamy said...

petrol dan diesel telah dirompak oleh lanun syaitan dikenali.....

Powered by Blogger.