Melampau-lampau Berzikir Kepada Nabi adalah ditegah



Sufi dan tarekat tasawuf dalam membudayakan zikir jaharnya. Mereka turut meletakkan lafaz pujian kepada Nabi dengan perkataan yang ghuluw (melampau) sehingga ada yang seakan-akan menganggap nabi seperti Tuhan. Sedangkan Nabi sendiri telah melarang perbuatan seperti itu. Di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan di dalam salah satu hadisnya sebagaimana berikut:

“Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nashrani telah melakukannya terhadap Isa anak Mariam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka katakanlah, “(Muhammad) Hamba dan Pesuruh Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Manakala berkenaan tambahan-tambahan lafaz di dalam sebahagian selawat ke atas nabi dengan tambahan Sayyidina, maulana, habibina, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri menjelaskan di ketika mana ada seorang lekaki memanggilnya dengan panggilan “Ya Sayyidina ibni Sayyidina”:

“Wahai manusia, hendaklah kamu bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya engkau adalah Muhammad bin ‘Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya, dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah ‘Azza wa Jalla tentukan bagiku.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, no. 12551)

Dalam perkara ini, Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah menyatakan:

Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (imam besar Mazhab Syafi’i – pen.) pernah ditanya berkenaan kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, sama ada yang wajib atau pun yang sunnah/sunat:

“Adakah dalam ucapan selawat itu disyari’atkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “’ala sayyidina khalqi” atau “‘ala sayyid waladi” atau hanya menggunakan kata-kata “Allahumma shalli ‘ala Muhammad”. Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”

Jawab al-Hafiz Ibnu Hajar: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sehingga ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu ‘alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat seperti itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. Al-Syafi’i rahimahullah sebagai seorang yang sangat memuliakan Nabi shalallhu ‘alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan “Allahumma shalli ‘ala Muhammad.” (Dinukil dari Syaikh Muhammad Nashidruddin al-Albani, Kitab Sifat Sholat Nabi, , Terbitan Media Hidayah, m/s. 215-216)

Bagaimana Mencintai Rasulullah?
Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa merasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana telah dikurniakan nikmat yang besar berupa hidayah Islam, hidayah hidup di atas sunnah, dan terhindar dari pelbagai bentuk kefahaman hidup yang menyimpang.

Ini antaranya adalah berkah dan rahmat yang diberikan oleh Allah melalui kenabian dan kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atas sebab usaha-usaha kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam pun sampai kepada kita sehingga hari ini. Atas usaha beliau dan nikmat yang besar inilah kita sebagai umat Islam memiliki kecintaan kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Pertama-tamanya, marilah kita fahami bahawa mencintai Nabi itu adalah termasuk ke dalam hakikat iman. Ini adalah sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut,

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia yang lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 24)

Keduanya, mencintai dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah termasuk tuntutan mencintai Allah berdasarkan ayat berikut (maksudnya),

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Juga firman Allah (maksudnya),

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Dengan menghayati maksud ayat-ayat di atas, adakah kita telah mengikuti contoh sebagaimana yang dikehendaki bagi merealisasikan fokus mencintai Allah dan Rasul-Nya? Adakah kita telah benar-benar mengikuti dan mencontohi Nabi dalam beragama? Adakah apa yang telah kita lakukan dalam amal-amal beragama kita selama ini menepati sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Maka dengan ini, apa yang pertama-tamanya lagi prioriti adalah supaya kita sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar sebagaimana Nabi kita mengajarkannya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan ingkarilah thaghut”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Al-Haafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam tafsirnya menjelaskan, “Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.

Dan bahawasanya setiap Rasul memiliki tugas (misi) yang sama, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah dengan benar) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25)” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)

Atas sebab itu, hendaklah kita istiqamah dalam bertauhid sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekaligus menjauhi pelbagai jenis kesyirikan yang banyak berleluasa. Dengan sebab itu juga, penekanan harus ditumpukan dalam persoalan ini yang merupakan tujuan utama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan kepada kita semua.

Hanya dengan agama yang didirikan dan ditegakkan di atas prinsip-prinsip sunnah yang betul, maka ia akan diberikan kejayaan dengan mendapat pertolongan Allah. Maka, hendaklah kita menegakkan agama Allah ini dengan kebenaran dan tidak menegakkannya dengan kepalsuan yang diada-adakan (bid’ah).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Qur’an) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.” (Surah Muhammad, 47: 7)

1 comment

puspawangi said...

Mungkinkah kerana ramai yang sekadar nerselawat semata2 tetapi dalam amalannya amat kurang ataupun tiada satu pun yang mengikuti sunnah Rasulullah SAW??

atau kerana perbuatan itu membawa keepada riak dan takabur kononnya kamilah yang lebih baik amalannya dalam emngingati Rasulullah SAW tetapi dalam perbuatan seharian nya tiada pun amalan sunnah Rasululullah yang dilakukannay malahan berbuat yang sebaliknya..

Contoh..selalu disebut2 penceramah bila menggambarkan sifat/rupa Baginda yg selalu disebut2 dada Baginda lebih tinggi dari perutnya sedangkan yg menyebut itu , perutnya buncit sah tinggi dari dada..

Allah hu alam..

Powered by Blogger.