“BANTAH CADANGAN KENAIKAN TOL”

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

13 Jun 2015 | 26 Sya’ban 1436


“BANTAH CADANGAN KENAIKAN TOL”

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian semalam (12 Jun 2015, muka surat 7), Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan kadar tol bagi 16 lebuh raya utama di seluruh negara. Kenaikan tersebut dijangka akan naik antara 20 sen sehingga RM 1 dan ia akan mula berkuatkuasa Ogos ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas membantah cadangan kenaikan kadar tol tersebut dan ia disifatkan sangat melampau. Kami juga meminta supaya pihak kerajaan berunding semula dengan pihak konsesi bagi mengelakkan pembayaran pampasan membabitkan ratusan juta sekiranya penangguhan kenaikan kadar tersebut dilakukan pada tahun ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berusaha melakukan pelbagai usaha antaranya berunding dengan pihak Kementerian Kerja Raya, pihak konsesi dan juga menggerakkan bantahan rakyat sekiranya cadangan kenaikan ini diterima oleh kerajaan. Difahamkan, kenaikan tersebut sepatutnya berlaku pada November tahun lalu, namun ia telah ditangguhkan.

Contoh cadangan kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuhraya utama di Lembah Klang adalah seperti berikut;

a. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Besraya adalah sebanyak 70 sen (dari RM 1.30 kepada RM 2.00).

b. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Baharu adalah sebanyak 60 sen (dari RM 1.60 kepada RM 2.20).

c. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Duta - Ulu Kelang adalah sebanyak 50 sen (dari RM 2.00 kepada RM 2.50)

Kerajaan sewajarnya mengambil kira keuntungan yang diraih oleh pihak konsesi dan keadaan semasa sosio ekonomi rakyat sebelum mencadangkan apa-apa kenaikan kadar tol. Rakyat kini sudah dihambat dengan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (6%) bermula 1 April yang lalu dan kenaikan petrol dan diesel sejak 1 Jun 2015.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments

Powered by Blogger.